Search This Blog

Sunday, February 2, 2014

Peras ugut: Tujuh individu termasuk inspektor ditahan


Abdul Rahim Jaafar
KUALA LUMPUR 1 Feb. - Polis menahan tujuh individu terdiri daripada seorang pegawainya yang berpangkat Inspektor, lima anggota Cawangan Narkotik dan seorang awam kerana dipercayai terlibat dalam kes peras ugut sebanyak RM12,000 di Jalan Bukit Mewah, Kajang dekat sini, Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, pihaknya telah pun menghantar kertas siasatan berhubung kes tersebut kepada Timbalan Pendakwa Raya.
"Suspek orang awam terbabit akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan pada Isnin ini sementara bagi pegawai dan anggota terbabit, pihak kami masih memerlukan beberapa tindakan susulan sebelum mendapat keputusan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan.
"Mereka kini dalam jaminan polis dan sekiranya didapati positif terbabit dalam kejadian tersebut, tindakan tegas akan dikenakan termasuk menggantung tugas selain tindakan undang-undang yang bakal dihadapi," katanya ketika ditemui pada sesi lawatan lokasi penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, dekat sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam kes ini serta memberi jaminan bahawa anggota polis tidak akan terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang sama seperti orang awam sekiranya didapati bersalah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, seorang inspektor bersama lima anggota dari Cawangan Narkotik Daerah Kajang yang menaiki kereta jenis Perodua Kembara dan Proton Saga BLM telah menahan sebuah kereta dinaiki dua lelaki serta seorang wanita kerana disyaki membawa dadah.
Salah seorang lelaki terbabit mendakwa telah dipukul serta digari sebelum dibawa ke sebuah lokap di tingkat 1, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut sebelum ditawarkan untuk menutup kes dengan bayaran RM12,000.
Lelaki terbabit kemudian dibebaskan selepas membayar RM400 serta menyerahkan telefon bimbit jenis i-Phone 4 sebagai pendahuluan sebelum didatangi seorang lelaki dikenali sebagai Ah Boy yang bertindak sebagai pengantara antara suspek dan polis untuk proses penyerahan wang RM12,000 yang ditawarkan untuk bebas.
Dia kemudian membuat laporan polis ekoran kejadian itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140202/je_12/Peras-ugut-Tujuh-individu-termasuk-inspektor-ditahan#ixzz2s8B6R89I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment