Search This Blog

Thursday, February 27, 2014

Penyamun menyamar staf JKM



GOVINDAMAH dan suaminya, Thangappa melakonkan semula kejadian mereka disamun di Bahau, Jempol semalam.


JEMPOL – Sepasang suami isteri warga emas kerugian RM70,000 apabila disamun sekumpulan penyamun yang menyamar sebagai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kejadian Isnin lalu.
Kejadian pada pukul 10.30 pagi itu berlaku ketika R. Thangappa, 65, dan isterinya, D. Govindamah, 61, berada dirumah mereka di Kampung Taman Jaya, Bahau dekat sini.
Cerita Thangappa, sebelum kejadian, dia dimaklumkan ketua kampung bahawa ada kakitangan JKM akan berkunjung ke rumahnya susulan permohonannya untuk mendapatkan bantuan daripada jabatan itu kerana sudah tidak mampu bekerja disebabkan masalah kesihatan.
“Semasa saya berada di bengkel (di belakang rumah), sebuah kereta yang dinaiki tujuh lelaki berhenti di hadapan rumah saya.
“Kesemua mereka yang berusia 20 hingga 30-an berpakaian kemas dan bertali leher. Pada baju mereka tertera logo tetapi saya tidak pasti logo tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurut Thangappa, pada mulanya, dua lelaki turun daripada kenderaan memperkenalkan diri sebagai wakil JKM lalu dia mempelawa mereka masuk ke dalam ke rumah.
Selang beberapa minit kemudian, tiga lelaki lain pula masuk ke dalam rumah dan terus mengikat pasangan tersebut.
“Mereka mengikat tangan dan kaki dengan kain dan menutup mulut kami dengan pita pelekat. Salah seorang lelaki itu mengacu pisau pada leher isteri saya.
“Mereka menolak isteri saya masuk ke dalam bilik sembahyang, manakala saya dibawa ke bilik sebelah. Penjenayah itu turut mengetuk kepala isteri saya dengan belakang pisau,” ceritanya.
Jelas warga emas itu, dia bernasib baik apabila isterinya dapat membuka ikatan selepas penjenayah tersebut beredar dan meminta bantuan jiran sebelum membuat laporan di Balai Polis Bahau.
“Saya hanya fikir mati dan masih trauma dengan kejadian tersebut,” katanya yang mendapati barang kemas lama, telefon bimbit dan wang yang kesemuanya bernilai RM70,000 lesap dipercayai dilarikan kumpulan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian dan memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 391 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2uTWwyRY0 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment