Search This Blog

Thursday, February 27, 2014

Pembunuh mati perlahan-lahan


KUALA LUMPUR 26 Feb. - Pembantu rumah warga Indonesia yang menyembelih dua anak majikannya di Taman Sri Putra, Sungai Buloh dekat sini malam tadi, sebelum membunuh diri dengan mengelar leher sendiri, dipercayai mati secara perlahan-lahan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata, itu dapat dilihat berdasarkan keadaan mayat pembantu rumah yang dikenali sebagai Agnes di dalam sebuah bilik di kediaman majikannya itu.
"Terdapat kesan gelembung udara dalam saluran pernafasan si mati. Bagaimanapun, kami masih menunggu laporan rasmi bedah siasat mayat tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dan IPD Petaling Jaya yang dirasmikan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed di sini hari ini.
Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua mangsa, Koay Jia Hong, 5, dan adik tirinya, Melvin Selvam Joseph, setahun enam bulan, tinggal bersama pembantu rumah warga Indonesia itu yang berusia 30-an manakala seluruh ahli keluarga lain keluar makan malam.
Dalam pada itu, Junaidi memberitahu, melalui keterangan ahli keluarga, pembantu rumah yang telah berkhidmat dengan keluarga berkenaan sejak satu setengah tahun lalu kerap membaca Bible dan mempunyai hubungan baik dengan mereka.
Beliau juga menolak sebarang pembabitan orang luar dalam kejadian tersebut memandangkan tiada sebarang kesan rumah berkenaan dipecah masuk atau kehilangan barang-barang berharga.
"Empat ekor anjing jenis Rottweiler terlatih yang dipelihara keluarga berkenaan dikatakan langsung tidak menyalak sepanjang kejadian itu berlaku.
"Jika ada pembabitan orang luar sudah pasti haiwan itu akan menyalak dan menyerang mereka," jelasnya.
Kata beliau lagi, pihak polis juga bekerjasama dengan Kedutaan Indonesia bagi mengenal pasti identiti sebenar pembantu rumah tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_08/Pembunuh-mati-perlahan-lahan#ixzz2uTLCBhTM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment