Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Pemandu lori ada 28 kes


Kampar: Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan mengakibatkan empat penuntut Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KTAR) maut di Kilometer 25.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Gua Tempurung, Gopeng, di sini, kini ditahan polis untuk membantu siasatan.

Pemandu lori berusia 42 tahun berasal dari Chenderiang, di sini, ditahan berikutan pemeriksaan awal mendapati dia mempunyai 28 kesalahan lalu lintas selain dikehendaki polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik atas kesalahan tidak mempamerkan cukai jalan.


Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, pemandu lori itu ditahan untuk siasatan kes kemalangan maut itu sebelum diserahkan kepada IPD Gerik untuk tindakan lanjut.



Menurutnya, dalam kemalangan jam 5 pagi, semalam, sebuah kereta model PERODUA Viva dipercayai dari arah Ipoh menghala ke Kampar bertembung dengan lori terbabit yang sarat membawa muatan tar.


“Siasatan awal mendapati kereta dinaiki penuntut KTAR itu dipercayai gagal memotong kenderaan di hadapan lalu bertembung dengan lori dari arah bertentangan.


“Impak rempuhan yang kuat menyebabkan kereta dinaiki mangsa terseret kira-kira 30 meter ke bahu jalan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta, Thomas Loh Tet, 20, bersama tiga rakan wanitanya, Koh Suet Mun, 20, Wong Pei Pei, 20, dan Ling Yok Sue, 20, maut di lokasi kejadian.


Kong Soon berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta dan penumpang kenderaan tidak mabuk ketika kejadian.

“Kes kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan dengan cara melulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/28

No comments:

Post a Comment