Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

PATI sanggup guna khidmat tekong


Johor Bahru: Dokumen perjalanan tamat tempoh dan hilang menyebabkan pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup menggunakan khidmat tekong darat bagi mendapatkan pasport dan cop palsu untuk keluar dari negara ini.

Bagaimanapun, taktik mereka gagal selepas 22 warga Indonesia termasuk dua kanak-kanak ditahan ketika cuba melepasi Pusat Pemeriksaan Imigresen di Puteri Habour, Nusajaya di sini, petang kelmarin.


Kesemua mereka berusia antara tujuh hingga 45 tahun ditahan pada jam 5.20 petang selepas pegawai imigresen di kaunter mencurigai ketulenan pasport dan cop yang dikemukakan warga asing terbabit.

Penyelaras Ops Bersepadu 6P Jabatan Imigresen Johor Masri Adul berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki, enam wanita dan dua kanak-kanak.


Menurutnya, turut ditahan bersama mereka adalah seorang lelaki berusia 40 tahun dipercayai bertindak sebagai tekong darat yang menguruskan usaha membawa mereka itu keluar dari negara ini.


“Berdasarkan siasatan kami, kebanyakan mereka itu datang dari Kuala Lumpur dan diuruskan oleh rakan senegaranya yang mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,000 seorang untuk kos pasport, proses cop palsu dan pengangkutan.

“Warga asing ini juga mendakwa sudah berada di Malaysia sejak tiga hingga lima tahun,” katanya.


Menurutnya, tekong darat ketika disiasat mengaku menguruskan PATI berkenaan dan ketika ditahan turut ditemui bersamanya wang tunai berjumlah RM13,585 dipercayai kutipan bayaran daripada warga asing terbabit.



Katanya, pihaknya turut menemui tangkal yang dipakai oleh lelaki terbabit dan masih menyiasat tujuannya berkata demikian.


“Ketika ditahan mereka itu dipercayai cuba melepasi pemeriksaan Imigresen untuk menggunakan perkhidmatan feri ke Tanjung Balai, Indonesia,” katanya.


Menurut Masri, kesemua PATI terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki pas dan pasport palsu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/1

No comments:

Post a Comment