Search This Blog

Thursday, February 27, 2014

Pasangan warga emas kerugian RM70,000 disamun


R. Thangappa melakonkan semula keadaannya diikat di rumahnya sebelum dirompak di Kampung Taman Jaya, Jempol, semalam. - UTUSAN/ SAJIDA ASARULAH KHAN
JEMPOL 26 Feb. - Sepasang suami isteri warga emas kerugian RM70,000 setelah disamun lima penjenayah yang berpura-pura menyamar sebagai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kampung Taman Jaya di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, mangsa, R. Thangappa, 65, dan isterinya, D. Govindamah, 61, turut diikat, diacukan senjata tajam dan dipukul suspek.
Thangappa berkata, dia dan isterinya berada di dalam rumah semasa didatangi dua suspek lelaki yang mendakwa wakil JKM dan ingin mendapatkan maklumat peribadi.
"Saya ada memohon bantuan JKM sebelum ini kerana mengalami masalah kesihatan dan tidak mampu bekerja. Saya dimaklumkan oleh Ketua Kampung yang kakitangan agensi itu akan datang pada hari itu.
"Jadi apabila datang dua lelaki berpakaian kemas, mempunyai logo dan bertali leher yang mendakwa wakil JKM serta ingin mendapatkan maklumat peribadi saya serta isteri, saya membenarkan mereka masuk ke dalam rumah," katanya di sini hari ini.
Thangappa seterusnya memberitahu, selang beberapa minit kemudian, muncul tiga lelaki lalu bertindak mengikatnya dan isteri dengan dibantu dua suspek yang berpakaian kemas.
"Mereka kemudian mengambil telefon bimbit, barang kemas dan wang tunai sebelum melarikan diri. Saya meminta bantuan jiran untuk membuka ikatan dan membuat laporan di Balai Polis Bahau," katanya.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias ketika dihubungi hari ini berkata, pasangan itu mengalami kerugian RM70,000 dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkawan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_05/Pasangan-warga-emas-kerugian-RM70000-disamun#ixzz2uTLjU3k6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment