Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Parlimen Crimea ditawan


Etnik Rusia dan Crimea menolak antara satu sama lain ketika berlakunya pertempuran sesama mereka berhampiran bangunan Parlimen Crimea di Simferopol, kelmarin. - REUTERS
KIEV 27 Feb. - Sekumpulan lelaki bersenjata pro-Rusia dilapor menawan bangunan Parlimen di wilayah autonomi Crimea, selatan Ukraine dan mengibarkan bendera Rusia, hari ini.
Perdana Menteri Crimea, Anatoliy Mohilyov berkata, sebanyak 50 lelaki bersenjata menyerbu bangunan Parlimen di Simferopol, ibu wilayah Crimea pada awal pagi dan menghalang petugas awam memasuki bangunan itu.
Mohilyov berkata, pihak berkuasa tempatan sedang membuat persiapan untuk bertindak, namun beliau tidak menjelaskan lebih lanjut tentang tindakan yang akan diambil.
Agensi berita Ukraine, Interfax melaporkan, kumpulan bersenjata itu yang lengkap berpakaian perang memasuki bangunan tersebut dengan menembak pintu kaca dan mengarahkan pegawal keselamatan meninggalkan premis itu.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri sementara Ukraine, Arsen Avakov berkata, pasukan keselamatan negara ini telah dikerah ke wilayah itu untuk menangani krisis tersebut.
“Pasukan khas Kementerian Dalam Negeri dan polis telah dimaklumkan tentang kejadian tersebut," katanya.
Sementara itu, kerajaan wilayah Crimea dalam satu kenyataan meminta semua penjawat awam agar tidak bekerja pada hari ini.
Beberapa media melaporkan sejumlah kereta kelihatan berpusu-pusu menuju ke Simferopol dari pekan pro-Rusia, Sevastopol.
Ada laporan mendakwa bangunan kerajaan dikawal oleh kumpulan militia pro-Rusia yang dibentuk oleh penduduk setempat.
Kejadian itu berlaku ketika kebimbangan yang semakin meningkat terhadap gerakan kumpulan pemisah pro-Rusia yang beroperasi di semananjung Laut Hitam ekoran penggulingan Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych yang disokong Moscow. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140228/lu_02/Parlimen-Crimea-ditawan#ixzz2uYxaNnLs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment