Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Nelayan kita dibebas


Manjung: Sebuah bot nelayan tempatan dikendalikan dua awak-awak berpangkalan di Pantai Remis, di sini, ditahan pihak berkuasa Indonesia sebelum ditunda ke perairan negara itu, Selasa lalu.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Lumut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kapten Abdul Razak Johan berkata, bot nelayan itu ditahan ketika menangkap ikan di kedudukan 45 batu nautika barat Pulau Pangkor, di sini, pada jam 8.15 malam. Menurutnya, kawasan itu didakwa adalah perairan bertindih antara Malaysia dan Indonesia.


“Beberapa nelayan dalam dua bot lain yang berada berhampiran tempat kejadian bagaimanapun sempat melarikan diri sebelum menghubungi Bilik Operasi APMM Daerah Maritim 3 Lumut, untuk meminta bantuan.



“Susulan laporan berkenaan, APMM melancarkan operasi mencari bot berkenaan dengan mengarahkan kapal maritim Malawali yang berada di perairan Pulau Jarak selain bot APMM dari Pengkalan Maritim Kuala Kurau mencari bot nelayan yang ditahan itu,” katanya.


Menurutnya, usaha berkenaan dibantu kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bagaimanapun gagal berikutan bot nelayan itu sudah ditunda ke perairan negara jiran.


Abdul Razak berkata, APMM menghubungi Pusat Operasi APMM (POMAR) di Putrajaya bagi menyelesaikan masalah itu.

“POMAR menghubungi Badan Koordinasi Keamanan Laut Indonesia (BAKORKAMLA) untuk membantu membebaskan awak-awak dan bot nelayan Malaysia itu.


“Bot nelayan itu dibebaskan bersama dua awak-awaknya pada jam 2.20 petang, Rabu lalu. Dua nelayan dan bot itu dalam keadaan baik dan selamat tiba di Pangkalan Perikanan Pantai Remis pada jam 6 pagi, Khamis lalu sambil diiringi kapal maritim Malawali,” katanya.

Katanya, Malaysia dan Indonesia sebelum ini mencapai persefahaman iaitu pihak berkuasa dari kedua-dua negara tidak menahan nelayan di kawasan perairan bertindih.


“Sepanjang 2011, sembilan kes seperti itu direkodkan berlaku, enam kes pada 2012 dan tujuh kes tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/28

No comments:

Post a Comment