Search This Blog

Thursday, February 27, 2014

Murid tahun dua nyaris diculik 2 lelaki


ROSMAWATI Mohd. Noor memeluk anaknya, Nur Amalin Musfirah Mohd. Shukur yang terselamat daripada menjadi mangsa culik di rumahnya di Kampung Pulau Belachan Pachor, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 26 Feb. - Keberanian dua lelaki melawan dua penjenayah berjaya menyelamatkan seorang murid tahun dua daripada diculik suspek berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kemuning, Pengkalan Chepa di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Nur Amalin Musfirah Mohd. Shukur, 8, berada berseorangan berhampiran pintu pagar sekolah dan menunggu ibu saudaranya datang menjemput selepas tamat sesi persekolahan.
Tiba-tiba muncul dua lelaki menaiki sebuah kereta dan seorang daripadanya turun lalu memeluk dan menarik tangannya untuk memasuki kenderaan itu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mangsa meronta-meronta dan menjerit meminta pertolongan namun tiada orang di kawasan itu.
"Suspek terbabit yang berang mengambil kayu di dalam kereta dan cuba memukul mangsa. Ketika itu berlaku sedikit pergelutan sebelum dua orang lelaki menaiki motosikal yang kebetulan melalui kawasan terbabit datang membantu mangsa.
"Suspek yang menyedari kehadiran kedua-dua lelaki itu kemudian cuba melawan dan berlaku pergelutan sebelum kedua-dua suspek melarikan diri.
"Mangsa kemudian dihantar pulang oleh dua lelaki terbabit di rumahnya di Kampung Pulau Belachan Pachor di sini kira-kira dua kilometer dari sekolah," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Jalaluddin turut meminta dua individu yang membantu kanak-kanak terbabit agar tampil memberi maklumat kepada polis bagi membantu mengesan suspek.
Katanya, hasil keterangan daripada kanak-kanak terbabit mendapati seorang suspek berbadan besar manakala seorang lagi kurus dan berkulit gelap.
Menurut beliau, mangsa juga memaklumkan tidak mengenali suspek serta dua lelaki yang membantu dan menghantarnya pulang ke rumah.
"Kita akan menjalankan siasatan dalam usaha memburu kedua-dua suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan," katanya.
Ibu mangsa, Rosmawati Mohd. Noor, 36, yang bekerja di Lapangan Terbang Pengkala Chepa, mengucapkan terima kasih kepada dua individu yang membantu Nur Amalin Musfirah kerana jika tidak sudah tentu anaknya itu dilarikan penjenayah.
"Setiap hari saya akan bersama suami mengambil Nur Amalin Musfirah pulang dari sekolah, tetapi pada hari kejadian, saya dan suami berada di Kota Bharu untuk menjemput seorang lagi anak dari sekolah.
"Saya meminta tolong kakak menjemput Nur Amalin Musfirah tetapi dia terlewat sedikit. Kejadian itu sangat mengejutkan malah anak saya trauma dan takut untuk ke sekolah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_09/Murid-tahun-dua-nyaris-diculik-2-lelaki#ixzz2uTNUwssX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment