Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

‘Mungkin hilang tiga anak jika terlambat’

‘Mungkin hilang tiga anak jika terlambat’
Tiga kanak-kanak berjaya diselamatkan dalam kenderaan terbakar di Hospital Selayang, kelmarin. 
Selayang: “Kalau tidak datang ke kereta itu dalam tempoh lima minit, dia mungkin kehilangan tiga anaknya,” ujar pengawal keselamatan Hospital Selayang, K Jegradan yang menjadi saksi kejadian kenderaan terbakar di hospital berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Jegradan melihat seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun ditinggalkan dalam kereta PROTON Exora oleh dua wanita, dipercayai ibu dan kakaknya di tempat letak kenderaan.

Katanya, kedua-dua wanita itu masuk ke dalam hospital beberapa minit sebelum kembali ke kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk pulang.


“Bagaimanapun, selepas beberapa meter kereta yang mereka pandu bergerak, asap keluar di bahagian hadapan lalu terbakar dan menyebabkan kedua-dua wanita itu keluar untuk menyelamatkan diri.

“Kanak-kanak itu pula dibantu oleh orang ramai yang kebetulan melihat kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui BH, di sini, semalam.

Sementara itu, bapa kepada tiga beradik itu, Painani Awang Hassan, 37, ketika di hubungi BH berkata, isterinya terpaksa meninggalkan anak mereka berikutan peraturan hospital yang tidak membenarkan kanak-kanak memasuki ke wad.

Tidak dibenar masuk wad
“Isteri saya tinggalkan mereka sebentar dalam kereta yang diletakkan tidak jauh dari lobi kerana kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke dalam wad.

“Tidak sampai 15 minit, isteri saya kembali semula ke kereta dan mendapati kenderaan itu sudah terbakar, manakala ketiga-tiga anak lelaki saya itu berada tidak jauh daripada tempat kejadian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.05 petang dan mengerahkan sebuah jentera serta tujuh anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya bomba di lokasi kejadian, kanak-kanak terbabit sudah dikeluarkan oleh orang awam tanpa sebarang kecederaan.

“Kenderaan terbabit gagal diselamatkan dan sebuah lagi motosikal yang diletakkan bersebelahan kenderaan berkenaan turut rosak selepas terkena bahang api.

“Api berjaya dikawal 12 minit kemudian sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.19 petang selepas anggota bomba memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya ketika dihubungi, semalam.

No comments:

Post a Comment