Search This Blog

Friday, February 28, 2014

MUI nafi terima rasuah keluar sijil halal


Jakarta: Majlis Ulama Indonesia (MUI) semalam menafikan dakwaan kononnya syarikat asing yang ingin menjual makanan di negara itu dikehendaki memberi rasuah bagi mendapatkan sijil halal.

“Sijil halal dikeluarkan secara percuma,” kata pengerusi MUI, Amidhan Shaberah dalam kenyataan yang dipetik agensi berita Antara.


Menurutnya, syarikat berkenaan hanya diminta membayar wang perjalanan untuk juruaudit MUI.

Portal berita Tempo.com Isnin lalu melaporkan MUI menerima sejumlah besar bayaran daripada syarikat di Australia yang memohon sijil halal.


Pengerusi pihak berkuasa pensijilan halal Sydney, Mohamed El-Mouelhy berkata, pihaknya dan enam syarikat negara itu membayar A$26,000 (RM76,231) kepada pegawai MUI pada 2006 tetapi belum lagi mendapat sijil berkenaan.


Menurut Tempo, wang itu dipindahkan secara langsung kepada Amidhan.

Perkhidmatan Makanan Halal Australia, pembekal makanan halal terbesar di Australia pula mendakwa sudah memindahkan A$10,000 (RM 29,317) kepada MUI supaya tidak membatalkan sijil halalnya.

Amidhan menafikan semua dakwaan itu.

Dia berkata, sesetengah organisasi tidak mendapat sijil halal kerana gagal menepati syarat, termasuk perkhidmatan komuniti Islam, pendidikan Islam, pejabat tetap dan kehadiran suruhanjaya terdiri daripada tiga juruaudit halal yang sah serta prosedur operasi yang konsisten. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/28

No comments:

Post a Comment