Search This Blog

Thursday, February 27, 2014

Mengaku tidak bersalah


La Ode Ardi Rasila
SHAH ALAM 26 Feb. - Bekas pengawal keselamatan warga Indonesia yang didakwa membunuh dan melepaskan tembakan terhadap seorang pegawai AmBank di Subang Jaya, dalam satu kejadian rompakan, tahun lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
La Ode Ardi Rasila, 36, dari Sulawesi memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa Indonesia di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.
Mahkamah turut menetapkan lima hari bermula 23 Jun hingga 27 Jun ini untuk perbicaraan kes tersebut.
La Ode didakwa membunuh Norazita Abu Talib di dalam bangunan Ambank, No. 5 & 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, dekat sini antara pukul 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun dengan niat menyebabkan kematian kepada pegawai AmBank itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi tuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang turut memperuntukan hukuman mati.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azari Harun yang mengendalikan pendakwaan memohon supaya kedua-dua kes itu dibicarakan bersama-sama dan mahkamah membenarkan permohonan tersebut.
Menurut Mohd. Azari, pihaknya akan memanggil antara 20 hingga 25 orang saksi untuk memberi keterangan.
Memetik laporan akhbar sebelum ini, dalam kejadian itu, Norazita maut ditembak oleh suspek ketika membuka peti besi di dalam bilik kebal bank itu, sebelum suspek melarikan diri dengan hasil rompakan berjumlah RM450,000.
Pada 10 November tahun lalu, iaitu 19 hari selepas kejadian itu, pasukan Op Cantas Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berjaya memberkas La Ode kira-kira pukul 7 pagi di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor.
Tertuduh yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di beberapa buah bank berdekatan dilaporkan menggunakan kad pengenalan palsu ketika memohon kerja di sebuah syarikat keselamatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140227/ma_01/Mengaku-tidak-bersalah#ixzz2uTP6xlWf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment