Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Mayat lebih 24 jam reput, busuk - Dr. Nurliza


SHAH ALAM 27 Feb. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa mayat Omar Peter Abdullah telah mengalami proses pembusukan dan pereputan sehingga menyebabkan keseluruhan jasadnya menggelembung, warna kulit bertukar hijau kehitaman, kulit mengelupas dan berulat di muka serta kepala.
Menurut Pakar Perunding Perubatan Forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Nurliza Abdullah, 49, proses pembusukan dan pereputan adalah proses semulajadi yang berlaku serentak jika mayat dibiar begitu sahaja dalam tempoh lebih dari 24 jam.
Beliau berkata, meskipun mayat mereput dan membusuk, ia masih belum melalui proses penulangan dan bentuk badan mayat masih boleh dilihat dengan sempurna kerana hanya kulit luaran yang mengelupas dan kulit dalaman masih elok.
Nurliza memberi keterangan sedemikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin dalam perbicaraan kes bunuh pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC) Zara Eleena, 23, dan bapanya, Omar Peter, 56, dua tahun lalu.
Dalam kes itu, empat bekas pelajar KTAC, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, didakwa membunuh dua beranak tersebut di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong.
Menyambung keterangannya, saksi pendakwaan ke-13 itu berkata, antara kesan lain yang dilihat pada mayat adalah muka di sebelah kiri jasad itu dan bibirnya mempunyai kesan kehitaman sementara lidahnya terkeluar dan bola matanya kemek.
Ditanya bagaimana kesan-kesan itu boleh terjadi, beliau memberitahu, ia sebahagian daripada proses pembusukan dan proses pengumpulan darah yang berlaku pada bahagian-bahagian kehitaman itu.
Beliau yang telah berkhidmat sebagai pakar forensik selama 18 tahun berkata, pengumpulan darah berlaku pada bahagian badan yang berada pada posisi ke bawah selepas mati.
Ditanya sekiranya terdapat kecederaan terhadap mayat sebelum meninggal dunia, adakah kesan itu tidak dapat dilihat akibat proses pereputan dan pembusukan yang berlaku, Norliza berkata, jika ada kesan seperti tikaman, ia masih boleh dilihat tetapi kesan itu tiada pada mayat Omar Peter.
Namun menurut saksi itu, sekiranya ada kesan lebam yang sedikit ia tidak akan dapat dikesan pada mayat tersebut kerana proses pereputan, pembusukan dan pengelupasan kulit yang berlaku.
Merujuk kepada pemeriksaan dalaman mayat pula, menurut Norliza, tiada tulang mayat yang didapati patah manakala organ dalaman seperti jantung, limpa, paru-paru, usus dan hati mengandungi cecair akibat proses pembusukan dan pencairan mayat.
Terdahulu, pakar forensik itu menyatakan, dia menerima borang POL 61 untuk menjalankan bedah siasat terhadap mayat Omar Peter dan Zara Eleena daripada pegawai penyiasat kes pembunuhan itu, Asisten Supritendan Mohd. Nazir Max pada waktu pagi, 12 Mac 2012. Kes bersambung 31 Mac ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140228/ma_01/Mayat-lebih-24-jam-reput-busuk---Dr-Nurliza#ixzz2uZBAEA00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment