Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

Maut lepas ambil anak


Sabak Bernam: Seorang wanita yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil anaknya di pusat jagaan maut apabila kereta yang dipandu merempuh belakang sebuah pikap jenis Ford Ranger yang terbabas di Kilometer 40, Jalan Teluk Intan-Klang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa, Faradiana Salleh, 31, yang memandu Perodua Myvi maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala dua anak lelakinya berusia tiga tahun dan lima bulan yang parah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah di sini, untuk menerima rawatan.


Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, lelaki yang memandu pikap itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Selangor dipercayai terbabas ke laluan bertentangan selepas melalui satu selekoh.

“Akibat memandu laju ditambah dengan keadaan jalan yang basah, kereta dipandu lelaki berusia 34 tahun itu gagal dikawal ketika melalui selekoh menyebabkan dia terbabas,” katanya.


Berdasarkan siasatan, pemandu lelaki terbabit dikatakan terlanggar takungan air di atas jalan sehingga menyebabkan kenderaannya berpusing dan hilang kawalan.


Menurutnya, selepas terbabas pikap itu memasuki laluan bersebelahan sebelum kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang Ford Ranger terbabit sehingga menyebabkan mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan orang ramai yang melihat kejadian.

“Kedua-dua anak mangsa dipercayai duduk di tempat duduk belakang dan orang ramai segera mengeluarkan anak mangsa sebelum dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan,” katanya.


Noor Mushar berkata, pemandu lelaki terbabit hanya mengalami kecederaan ringan manakala mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

No comments:

Post a Comment