Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

Letusan Kelud, empat lapangan terbang masih ditutup


Dua orang penduduk kampung, semalam membawa keluar lembu mereka di Malang selepas Gunung Berapi Kelud meletus di Jawa Timur, kelmarin. - AFP
JAKARTA 15 Feb. - Tiga buah lapangan terbang di Indonesia hari ini beroperasi seperti biasa, sementara empat buah lagi masih ditutup ekoran ancaman abu Gunung Berapi Kelud, ketika angka korban akibat letusan itu meningkat kepada enam orang.
Menurut jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan, lapangan terbang yang telah dibuka adalah di Malang, Jawa Timur serta Cilacap dan Semarang di Jawa Tengah.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Alam Nasional, Sutopo Purwo Nugroho berkata, lapangan terbang lain masih diliputi abu walaupun gunung itu sudah berhenti meletus.
"Semua operasi pengangkutan udara masih dihentikan di empat lapangan terbang tersebut,'' katanya.
Beliau berkata, operator lapangan terbang masih membersihkan kemudahan mereka sementara menunggu penilaian oleh pihak berkuasa untuk memulakan semula operasi.
Dalam pada itu, penduduk Yogyajakarta mula membersihkan bandar raya itu daripada abu yang dihamburkan Gunung Kelud.
Pengarah Badan Pencegahan Bencana Daerah, Gatot Saptadi berkata, agensi itu, tentera, polis dan beberapa agensi lain bersama masyarakat di semua daerah dan kawasan di bandar raya mula membersihkan kesan letusan gunung tersebut.
"Operasi ini dilakukan serentak dengan keputusan Gabenor Yogyajakarta, Sri Sultan Hamengku Buwono X yang menetapkan darurat selama tujuh hari,'' katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut mengerahkan beberapa meriam air dalam kerja-kerja pembersihan tersebut.
"Jika tiada letusan besar lagi berlaku, Yogyajakarta dijangka kembali bersih selewat-lewatnya Rabu ini,'' katanya. - DPA/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140216/lu_01/Letusan-Kelud-empat-lapangan-terbang-masih-ditutup#ixzz2tQpFARMN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment