Search This Blog

Sunday, February 2, 2014

Lelaki cuba langgar polis cedera ditembak


MELAKA 1 Feb. - Tindakan dua penjenayah yang cuba melanggar anggota polis dengan sebuah trak pikap ketika hendak meloloskan diri daripada ditahan membawa padah apabila seorang daripadanya cedera ditembak di sebuah rumah di Taman Seri Rambai dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan dengan trak pikap berkenaan jenis Toyota Hilux.
Kira-kira enam jam selepas itu, suspek berusia 27 tahun yang cedera di bahagian paru-paru berjaya ditahan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, kira-kira pukul 1.15 petang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman berkata, sepasukan polis yang menerima maklumat berhubung kes jenayah telah dihantar ke sebuah rumah di Taman Seri Rambai dekat sini.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba, anggota terbabit terserempak dengan dua lelaki yang sedang keluar dari sebuah kenderaan melalui jalan belakang.
"Sewaktu polis memperkenalkan diri, kedua-duanya bertindak menaiki semula kenderaan tersebut dalam cubaan melarikan diri.
"Salah seorang suspek menjerit 'langgar, langgar' dan kenderaan yang dinaiki dua suspek itu cuba melanggar sehingga memaksa anggota polis melepaskan tiga das tembakan dari jarak dekat dan mengenai pemandunya," katanya dalam sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di sini.
Salehuddin berkata, polis kini memburu rakan suspek iaitu Ahmad Sabri Hamzah, 24, memiliki kad pengenalan 900223-04-5411 dan alamat terakhirnya di No.18 Jalan 6A, Taman Pokok Mangga, Melaka.
Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan di rumah tersebut polis menemukan sebuah set sofa, sebuah televisyen plasma berukuran 42 inci model Pioneer, peti sejuk mini, set hi-fi, empat buah speaker dan sebuah meja kaca yang dilaporkan hilang dari sebuah di Tanjong Kling, baru-baru ini.
"Siasatan mendapati suspek yang cedera itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau tetapi rakan yang diburu mempunyai dua rekod iaitu satu di bawah Seksyen 380 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Merbahaya 1952," ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengenali mangsa agar menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Fahmi Abd. Aziz di talian 012-3069746 dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140202/je_11/Lelaki-cuba-langgar-polis-cedera-ditembak#ixzz2s8BHhSUx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment