Search This Blog

Friday, February 21, 2014

Langgar polis: Mekanik dipenjara 9 bulan


21 Februari 2014

KUALA LUMPUR - Seorang mekanik sambilan hari ini dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah melanggar dua anggota polis yang melakukan Ops Cantas di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) bulan lepas.
   
Majistret Nor Azura Murah memerintahkan Mohd Yusof Nazri Zolkefli, 32, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 25 Januari lepas.
   
Mohd Yusof Nazri bersama seorang lagi suspek yang meninggal dunia, didakwa menggunakan kekerasan terhadap Lans Koperal Mohd Hafez Mohd Nor dan Lans Koperal Huzaini Baharin dengan melanggar motosikal milik mereka.
   
Dia yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu dari Jalan Taman Melati 7, Taman Melati, Sentul hingga hadapan Projek Perumahan Rakyat Hiliran Ampang di MRR2  antara 11.05 malam 24 Januari lepas dan 7 pagi keesokannya.
 
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
   
Mengikut fakta kes, Mohd Yusof Nazri enggan bekerjasama dengan anggota polis yang melakukan Ops Cantas sebelum melanggar motosikal yang ditunggangi Mohd Hafez ketika berhenti di hadapan kenderaannya.
   
Tertuduh yang menaiki kereta jenis Proton Satria Neo bersama dua penumpang lain, kemudian memecut kenderaannya sehingga melanggar beberapa kenderaan awam.
   
Bagaimanapun ketika tiba di hadapan Zoo Negara, tertuduh bertindak agresif apabila melanggar motosikal yang ditunggangi Huzaini sehingga menyebabkan anggota polis itu terjatuh sebelum seorang anggota polis lain bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan itu.
   

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kejadian yang melibatkan pelanggaran kenderaan awam sehingga polis terpaksa melepaskan tembakan yang boleh menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan anggota polis. - Bernama

No comments:

Post a Comment