Search This Blog

Wednesday, February 5, 2014

Lagi pengurus Genneva didakwa


AHMAD Khairuddin Ilias (tengah) dikawal anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 4 Feb. - Seorang pengurus syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva (M) Sdn. Bhd. (GMSB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima deposit tanpa lesen, kira-kira empat tahun lalu.
Ahmad Khairuddin Ilias, 56, merupakan individu yang ke-16 didakwa ke muka pengadilan berhubung skim pelaburan jongkong itu, selain 10 buah syarikat yang turut berdepan pertuduhan serupa.
Tertuduh terbabit didakwa menerima deposit daripada orang awam melalui dua akaun CIMB Islamic Bank Bhd. tanpa lesen sah bagi satu skim yang membabitkan transaksi emas.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 10 Januari 2011 dan 1 Oktober 2012 di CIMB Islamic Bank Bhd. cawangan Kuchai Lama, No. 69, Jalan Kuchai Maju 1, Dynasty 2 off Jalan Kuchai Lama di sini.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Ahmad Khairuddin mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Malaysia (BNM), Fahmi Abd. Moin dan Hardeep Kaur manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hairani Samsi.
Hakim Mat Ghani Abdullah selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua pihak menetapkan jaminan sebanyak RM500,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Ahmad Khairuddin juga diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Kes itu akan disebut semula pada 20 Februari ini bersama kes-kes membabitkan GMSB terdahulu.
Pada tarikh tersebut, pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan agar kesemua kes itu dibicarakan bersama.
Secara keseluruhan, kes terhadap 16 individu dan 10 buah syarikat itu membabitkan sebanyak 1,550 pertuduhan dengan 14 daripadanya dikemukakan mengikut BAFIA.
Selebihnya didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140205/ma_02/Lagi-pengurus-Genneva-didakwa#ixzz2sOU3xTJK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment