Search This Blog

Friday, February 28, 2014

KPN nafi 60 pegawai kanan polis disiasat SPRM


KUALA LUMPUR 27 Feb. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan sekeras-kerasnya laporan portal propembangkang, The Malaysian Insider yang mendakwa 60 pegawai kanan polis yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memiliki RM20 juta dalam pelbagai akaun, sambil menyifatkan laporan itu palsu semata-mata.
Tegas beliau, laporan portal itu adalah tidak benar sekali dan telah dinafikan SPRM sendiri.
"Saya sendiri telah berjumpa dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed semalam dan beliau memberitahu laporan itu palsu.
"Tidak tahulah dari mana wartawan dapat berita ini. Mungkin wartawan itu jumpa tukang kebun kemudian dia dapat cerita itu terus tulis.
"Tolonglah jangan melaporkan perkara yang tidak benar. Jangan laporkan dari sumber yang tidak sahih," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Ketua Polis Negara Bersama Pesara Pegawai-Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Semalam, portal propembangkang itu mendakwa, seorang pegawai kanan yang disiasat SPRM mempunyai RM20 juta dalam beberapa akaun banknya dan gagal menjawab dari mana beliau memperolehi wang berkenaan.
Portal itu yang memetik sumber SPRM mendakwa, suruhanjaya tersebut akan membuat beberapa pendedahan lagi dalam masa terdekat.
Portal itu juga mendakwa sejak enam bulan lalu, SPRM menjalankan siasatan terhadap 60 pegawai polis yang disyaki terlibat dalam rasuah.
Sementara itu, SPRM menafikan mengeluar kenyataan kepada portal tersebut berhubung kes rasuah dan siasatan ke atas pegawai berkenaan.
Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung tindakan yang akan diambil polis tentang laporan palsu itu, Khalid memberitahu, pihaknya akan menyerahkan perkara itu kepada SPRM dan Peguam Negara untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Sementara itu, ketika diasak dengan soalan tentang anggota polis yang sedang disiasat SPRM beliau menjelaskan, perkara itu memang ada.
"Saya mengesahkan memang ada pegawai juga yang disiasat oleh SPRM di seluruh negara sama ada kesalahan rasuah atau penyelewengan,"katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140228/je_07/KPN-nafi-60-pegawai-kanan-polis-disiasat-SPRM#ixzz2uZAjwnF2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment