Search This Blog

Wednesday, February 5, 2014

Kilang perabot terbakar, kerugian dianggar RM2 juta


ANGGOTA bomba berusaha memadamkan api dalam kebakaran sebuah kilang menghasilkan komponen perabot di Kawasan Perindustrian Bukit Pasir dekat Muar, Johor, semalam.
PAGOH 4 Feb. - Sebuah kilang menghasilkan komponen perabot untuk tujuan eksport kerugian kira-kira RM2 juta apabila dua blok operasinya musnah dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Bukit Pasir di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.45 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua pekerja kilang berkenaan sempat menyelamatkan diri.
Pemilik kilang berkenaan, Tan Chen Gee, 41, berkata, komponen-komponen perabot dan 20 mesin musnah dalam kebakaran yang disedari pekerjanya di Blok D sebelum merebak ke Blok C.
Chen Gee yang tinggal di Bakri berkata, dia mengetahui kilangnya terbakar kira-kira pukul 9 pagi dan bergegas ke lokasi, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api sudah marak di kedua-dua blok berkenaan.
"Kerugian dianggarkan RM2 juta. Kilang ini yang sudah beroperasi tiga tahun lalu mempunyai Blok A,B,C dan D. Blok B turut terbakar tetapi sebahagian sahaja manakala Blok A yang menempatkan produk sudah siap, tidak terjejas.
"Kilang ini yang mempunyai 150 pekerja dan beroperasi 24 jam secara dua syif, baharu dibuka semalam selepas empat hari ditutup sempena Tahun Baharu Cina," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Seorang pekerjanya, Salmiah Sardon, 57, berkata, selepas setengah jam memulakan kerja, dia dan rakannya dikejutkan dengan suara pekerja asing warga Nepal menjerit menyatakan ada kebakaran di bahagian belakang.
Katanya, kesemua pekerja terus menyelamatkan diri apabila siren kecemasan dibunyikan dan berkumpul di depan kilang selain beberapa pekerja cuba memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air yang ada tetapi tidak berhasil.
"Saya menggigil ketakutan dan kami bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri," katanya yang tinggal di Parit Karim, Air Hitam, dekat sini dan sudah enam tahun bekerja di kilang tersebut
Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Ismail Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.04 pagi dan 10 anggota dengan dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
Katanya, operasi memadamkan api masih diteruskan sehingga lewat petang ini bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.
"Punca dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140205/je_05/Kilang-perabot-terbakar-kerugian-dianggar-RM2-juta#ixzz2sOSrI7rV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment