Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

16 pemandu ditahan positif dadah



LIZAN Che Mat (kanan) meninjau pemeriksaan yang dilakukan oleh pihah polis dalam sekatan jalan raya dalam Operasi Bersepadu melibatkan beberapa agensi kerajaan di Kampung Air Sejuk, Setiu, Terengganu, malam semalam.
SETIU 7 Mei - Sebanyak 16 pemandu kenderaan persendirian serta kenderaan penumpang ditahan kerana positif dadah manakala 48 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dalam operasi bersepadu di tiga lokasi di daerah ini semalam.
Operasi kelolaan Pejabat Daerah bersama lapan jabatan dan agensi kerajaan bermula pukul 9.30 malam sehingga pukul 4 pagi melibatkan sekatan jalan raya di Kampung Air Sejuk, Kampung Penarik dan Kampung Sungai Tong.
Antara agensi kerajaan terlibat adalah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Daerah Setiu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pejabat agama daerah, Rela daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ketua Penolong Pegawai Daerah, Lizan Che Mat berkata, dalam ope­rasi berkenaan, sebanyak 171 lelaki dan seorang wanita telah menjalani ujian saringan air kencing oleh AADK.
Menurutnya daripada jumlah itu, pihaknya mendapati sebanyak enam dikesan positif dadah jenis methamphetamine di sekatan jalan raya Kampung Air Sejuk, Penarik (5 orang) dan Sungai Tong (5 orang) yang kesemuanya adalah lelaki.
"Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, AADK daerah ini turut menahan dua lelaki di dua tempat berasingan iaitu di Kampung Binjai Manis di sini dan Kampung Merbau Menyusut di sini kerana positif dadah dalam serbuan pada kira-kira pukul tiga pagi semalam.
Dalam pada itu Lizan berkata, JPJ telah mengeluarkan 31 saman dan PDRM pula sebanyak 17 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20140508/wt_01/16-pemandu-ditahan-positif-dadah#ixzz31JMxr7d6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment