Search This Blog

Wednesday, February 5, 2014

Kematian Nursyafiqah: Ibu, teman lelaki didakwa


SOFIAN Hadie Mohd. Noor dan Rabiatul Adawiyyah (kiri) didakwa di Mahkamah Seksyen Dungun, semalam.
DUNGUN 4 Feb. - Seorang penganggur yang dikaitkan dengan kematian Nursyafiqah Adawiyyah Abdullah yang mayatnya ditemui dalam keadaan menyayat hati, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mendera dan mengabaikan kanak-kanak berusia dua tahun itu.
Sofian Hadie Mohd. Nor, 35, yang mempunyai jagaan terhadap Nursyafiqah Adawiyyah didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di sebuah rumah kosong, Lot 8428, Taman Perumahan Seberang Paka, Fasa 2, Paka di sini kira-kira pukul 3.20 petang, 22 Januari lalu.
Dakwaan terhadap teman lelaki ibu mangsa itu dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh turut menghadapi satu lagi tuduhan iaitu gagal menunjukkan kad pengenalan ketika ditahan di hadapan Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Paka, Paka pada pukul 1.30 petang, 21 Januari lalu.
Bagi pertuduhan itu, lelaki itu didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 25 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.
Majistret Hazwanie Husain Bustari tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh yang beralamat di Felda Kerteh 5, Ketengah Jaya, di sini serta tidak diwakili peguam bela.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Izzat Wan Abdullah yang mengendalikan pendakwaan sebelum itu memberitahu mahkamah, pihaknya masih menunggu laporan forensik dan kimia terhadap Sofian, bagi mengaitkannya atas tuduhan membunuh Nursyafiqah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Di mahkamah sama, ibu kepada mangsa, Rabiatul Adawiyyah Mamat, 28, dituduh membuat laporan palsu berhubung kehilangan anaknya kira-kira pukul 12.01 tengah hari, 18 Januari lalu di pejabat Pertanyaan Balai Polis Paka.
Wanita itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 192 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 193 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac depan sementara menunggu laporan toksikologi dan kimia siap.
Rabiatul Adawiyyah bagaimanapun gagal membayar wang jaminan.
Dalam kejadian bulan lalu, mayat kanak-kanak malang itu ditemui dalam keadaan menyedihkan di dalam bilik air sebuah rumah kosong dan mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140205/ma_03/Kematian-Nursyafiqah-Ibu-teman-lelaki-didakwa#ixzz2sOTteQ4t
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment