Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Kemalangan babit 3 kenderaan


Seremban: Dua kakitangan Pos Malaysia Berhad yang membawa surat dan bungkusan ke Johor Bahru terbunuh selepas lori kontena Pos Laju yang dibawa dirempuh sebuah treler dari arah bertentangan di Kilometer (KM) 251.9 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 pagi itu, pemandu lori Mohd Sharimi Mohd Saad, 30, rentung dan kelindan Hasmadi Safar, 37, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dalam kejadian itu.


Sumber polis berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan berpunca apabila sebuah treler membawa muatan plastik dari Pedas/Linggi menghala ke Kuala Lumpur melanggar bahagian belakang sebuah lori bermuatan baja dari arah sama.



Katanya, akibat pelanggaran itu, treler terbabit hilang kawalan dan terbabas hampir lima meter dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh lori dinaiki kedua-dua mangsa.


“Difahamkan treler berkenaan merempuh bahagian hadapan lori Pos Laju dipandu mangsa menyebabkan kedua-keduanya mati di tempat kejadian.


“Berikutan itu, muatan sebuah motosikal yang berada dalam lori Pos Laju berkenaan dikatakan terbakar sebelum ia merebak ke seluruh bahagian lori,” katanya.

Menurutnya, mangsa dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang semula ke Johor sebelum terbabit kemalangan.


“Dalam insiden itu, pemandu treler yang terbabit pelanggaran awal hanya mengalami cedera ringan namun pemandu dan kelindan lori muatan baja yang terbabas itu mengalami cedera parah,” katanya semua mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.

Sumber berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/28

No comments:

Post a Comment