Search This Blog

Thursday, February 27, 2014

Kelar dua kanak-kanak: Pembantu rumah tiada dokumen


Dino Nurwahyuddin
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Pihak Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia belum dapat mengenal pasti identiti pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai mengelar dua anak majikannya di Taman Sri Putra dekat sini, sebelum nekad membunuh diri semalam.
Kaunselor Dino Nurwahyuddin berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat mengenal pasti identiti pembantu rumah berkenaan kerana tiada dokumen ditemui.
Tambahnya, pihak kedutaan juga tidak mempunyai rekod kemasukannya ke Malaysia.
"Kita difahamkan yang pembantu rumah berkenaan telah bekerja dengan majikan tersebut kira-kira satu setengah tahun," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
Semalam, dua kanak-kanak, Melvin Selvam Joseph berusia setahun enam bulan dan abang tirinya, Koay Jia Hong, 5, ditemui mati dikelar di leher, dipercayai dilakukan oleh pembantu rumah terbabit.
Dalam kejadian itu, pembantu rumah yang dikenali sebagai Agnes berusia lingkungan 30-an turut ditemui mati dipercayai nekad membunuh diri di dalam sebuah bilik.
Mayat Melvin Selvam juga ditemui di dalam bilik sama sebelum polis menemui Jia Hong di bilik atas rumah dua tingkat tersebut.
Menurut Dino, pihaknya tidak menolak kemungkinan pembantu rumah tersebut memasuki negara ini secara haram.
"Bagaimanapun ia menjadi tanggungjawab majikan untuk mengambil pembantu rumah mengikut prosedur yang dibenarkan kerana jika berlaku sesuatu perkara tidak diingini, siasatan lebih sukar.
"Undang-undang atau peraturan dibuat negara ini bersama negara lain dalam pengambilan pembantu rumah adalah untuk kebaikan bersama, jadi majikan sewajarnya mengambil pembantu rumah dengan cara yang betul," ujarnya lagi.
Tambah Dino, pihaknya dimaklumkan Agnes diperkenalkan kepada majikannya oleh pembantu rumah keluarga itu sebelum ini yang berpindah kerja ke Johor.
"Kita percaya akan memperoleh lebih banyak maklumat daripada rakannya itu dan berharap dapat membantu siasatan polis serta menghubungi keluarga pembantu rumah terbabit di Indonesia," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_06/Kelar-dua-kanak-kanak-Pembantu-rumah-tiada-dokumen#ixzz2uTM7TlXn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment