Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

Kebakaran musnahkan lebih 350 hektar hutan paya gambut


DUNGUN 15 Feb. - Keadaan cuaca panas dan berangin menyebabkan kebakaran yang telah memusnahkan lebih 350 hektar hutan paya gambut di beberapa kawasan di sini sejak lebih dua minggu lalu masih sukar dipadamkan.
Pihak bomba terpaksa memperluaskan kawasan kawalan setelah api yang meliputi seluas 30 hektar semalam semakin merebak sehingga 50 hektar di lokasi sukar dimasuki dan sumber air terhad.
Kepulan asap mula menimbulkan keresahan penduduk di empat buah kampung berhampiran iaitu Kampung Tok Kah, Kampung Bahagia, Kampung Mahsuri dan Felcra Bukit Murai yang disifatkan insiden terburuk sejak 2002.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat daerah, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya masih giat menjalankan operasi memadam baki hutan paya gambut yang terbakar sejak 26 Januari lalu.
"Kebakaran hutan yang melibatkan empat buah kampung ini dikesan sudah sampai ke kaki Bukit Gadut, tidak jauh dari Kampung Bahagia dan Tok Kah. Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan tidak merebak ke penempatan penduduk. Langkah berjaga-jaga telah diambil termasuk menggali parit pemisah," katanya di sini hari ini.
Seramai 70 anggota bomba dari Balai Dungun, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Kerteh dan Kemaman dengan dibantu oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam kini bertungkus-lumus mengawal keadaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Md. Salleh Sarbini berkata, pihaknya percaya kebakaran merebak berkemungkinan turut berpunca daripada percikan bara api yang dibawa angin.
Bomba sebelum ini menjangka kebakaran hutan paya gambut itu dapat dikawal sepenuhnya dalam masa seminggu, namun disebabkan cuaca panas berpanjangan, pasukan tersebut terpaksa mengambil masa lebih lama untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke tempat lain.
Dalam perkembangan sama, beliau menasihati orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka dan membuang puntung rokok merata-rata kerana cuaca kering dan kemarau ketika ini.
"Sejak awal Januari, purata panggilan kebakaran yang diterima setiap hari adalah sekitar 10 kes dengan sebahagian besar melibatkan kebakaran lalang, belukar serta hutan kecil," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140216/dn_19/Kebakaran-musnahkan-lebih-350-hektar-hutan-paya-gambut#ixzz2tRHXlyqh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment