Search This Blog

Sunday, February 2, 2014

Kanak-kanak 3 tahun maut dihempap TV


BUKIT MERTAJAM 1 Feb. - Kegembiraan sebuah keluarga untuk merakamkan gambar kenangan semasa perayaan Tahun Baharu Cina bertukar duka apabila seorang kanak-kanak berusia tiga tahun mati dihempap sebuah televisyen berukuran 29 inci malam tadi.
Dalam kejadian di Taman Chai Leng, Perai, dekat sini, kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Chew Hui Zhen dipercayai tertarik wayar televisyen di ruang tamu sebuah rumah ketika ahli keluarganya yang lain sedang bersiap sedia untuk sesi bergambar.
Akibatnya, Hui Zhen ditimpa televisyen seberat 10 kilogram itu dan mengalami kecederaan di kepala.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Baharom Abu berkata, siasatan awal pihaknya mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.
“Polis menerima panggilan telefon mengenai kejadian ini kira-kira pukul 10.30 malam daripada pihak hospital. Setakat ini kita mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan menunggu laporan bedah siasat.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai berdiri berhampiran rak televisyen yang agak rendah sebelum tertarik wayar dan televisyen terbabit menghempapnya," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, bapa mangsa, Chew Hock Soon yang bekerja sebagai tukang paip kelihatan sebak ketika menunggu mayat anaknya di Rumah Mayat Hospital Seberang Jaya.
Hock Soon dan isterinya, Phoruethai Sae Lee yang berketurunan Siam menangis teresak-esak dan enggan ditemu-ramah kerana terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa anak tunggal mereka itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140202/je_01/Kanak-kanak-3-tahun-maut-dihempap-TV#ixzz2s8AVz49r
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment