Search This Blog

Thursday, February 27, 2014

Jual emas kepada saksi



KERATAN Kosmo! 24 Mac 2014.


SHAH ALAM - Seorang tukang emas memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa tertuduh ketiga, Azizi Aizat Ibrahim merupakan individu yang datang ke premisnya menjual lima utas barang kemas di Pandan Jaya, Kuala Lumpur pada Februari 2012 lalu.
Menurut, Lim Eng Huat, 55, beliau dapat mengenal pasti tertuduh ketiga itu berdasarkan bentuk fizikal individu tersebut yang berbadan besar, gempal dan tinggi yang masih diingatinya untuk membuat pengecaman ke atas Azizi Aizat, 22, di dalam kandang tertuduh semalam.
Kata saksi ke-10 itu, dia tidak mengetahui barang kemas yang dibelinya terdiri daripada tiga gelang tangan dan dua rantai leher emas itu mempunyai kaitan terhadap kes pembunuhan pensyarah bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics, Zara Eleena, 23, dan bapa mangsa, Peter Omar Abdullah, 56.
"Lelaki badan gempal ini datang ke premis saya memberitahu mahu menjual barang kemas dengan alasan mahukan wang kerana ibunya sedang sakit.
"Rasa simpati dengan tertuduh mahukan duit, saya setuju membelinya dan meminta kad pengenalan bagi mengeluarkan resit jual beli barangan bernilai RM6,200 dan memberi wang itu kepada tertuduh," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman pada sesi perbicaraan hari keenam semalam.
Katanya, dia hanya mengetahui barang kemas itu mempunyai kaitan dalam kes pembunuh pensyarah dan bapa mangsa selepas anggota polis datang ke premisnya bersama Azizi Aizat untuk menyiasat kes itu pada Mac 2012.
"Saya menunjukkan dan menyerahkan barang kemas berkenaan kepada polis dan dua daripada barang terbabit telah dileburkan iaitu dua gelang tangan manakala dua rantai leher dan satu lagi gelang tangan emas masih disimpan," jelasnya
Mengikut pertuduhan, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, bersama tiga yang lain, Mohamad Sharafe Mat Noh, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, dituduh membunuh Zara Eleena Omar, 23, di rumah nombor 28 Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong antara pukul 1.30 dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012. Mohamad Zul Shahril dipercayai kekasih kepada Zara Eleena.
Mereka juga menghadapi tuduhan kedua, membunuh Omar Peter Abdullah, 56, di tempat yang sama antara pukul 11.30 malam 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi keesokkannya.
Zara Eleena dan Omar Peter mati selepas muka kedua-dua mangsa ditekup dengan baju dan bantal.
Bagi semua kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika didapati bersalah.
Perbicaraan hari ketujuh bersambung hari ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2uTWfCv6i 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment