Search This Blog

Sunday, February 2, 2014

Insiden tembakan, letupan gegar Bangkok


BANGKOK 1 Feb. - Bunyi tembakan dan sekurang-kurangnya dua letupan bom menggegarkan Bangkok hari ini, ketika satu pertempuran tercetus di antara penunjuk perasaan antikerajaan dan kumpulan prokerajaan, sehari sebelum pilihan raya umum negara ini diadakan esok.
Sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan cedera dalam kejadian di utara Bangkok itu yang bermula apabila kumpulan prokerajaan berarak ke sebuah pejabat daerah di utara Bangkok yang menempatkan peti-peti pengundian yang dikepung penunjuk perasaan antikerajaan yang cuba menghalang pilihan raya diadakan.
Kedua-dua pihak itu dikatakan bertempur menggunakan batu dan mercun, diikuti postol serta senapang, menyebabkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian terpaksa berlindung di pusat beli-belah Lak Si Plaza dan IT Square Mall.
Bunyi tembakan sekali-sekala turut didengar menjelang waktu malam, dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki bertopeng yang melepaskan tembakan ke udara.
Anggota pasukan keselamatan turut melepaskan tembakan ke udara menggunakan raifal M-16 bagi menggesa orang ramai mencari tempat berlindung.
Menurut Ketua Majlis Keselamatan Negara, Paradorn Pattanatabut, pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan.
Menurut akhbar The Nation, disebabkan pertempuran itu, Perkhidmatan Kereta Api Thailand turut menutup perkhidmatan di antara stesen Lak Si den Don Muang atas sebab keselamatan.
Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihan Raya, Puchong Nutrawong berkata, persiapan pilihan raya dudah hampir 100 peratus di utara, timur laut dan wilayah tengah Thailand, namun terdapat masalah di Bangkok serta 12 wilayah di selatan Thai kerana proses penghantaran peti undi dihalang penunjuk perasaan antikerajaan.
Suruhanjaya itu turut mengarahkan supaya proses pengundian dihentikan sekiranya berlaku rusuhan atau keganasan. - AFP/Reuters


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140202/lu_04/Insiden-tembakan-letupan-gegar-Bangkok#ixzz2s8ChWGCi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment