Search This Blog

Thursday, February 27, 2014

Inkues siasat punca sebenar kematian pelajar tahfiz


Wan Abdul Rahman Wan Yaacob (kiri), Rohani Husni (tengah) dan Alias Ibrahim (kanan) bersama laporan polis di IPD Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/Irwan Majid
KOTA BHARU 26 Feb. - Keluarga kepada Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas yang ditemui mati tergantung dalam tandas asrama, akhir tahun lalu memohon supaya satu inkues diadakan.
Bapa mangsa, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 68, berkata, ia bagi menyiasat punca sebenar kematian anaknya yang berusia 16 tahun itu kerana percaya wujud unsur jenayah.
Katanya, pada 16 Januari lalu, pihaknya membuat laporan di Balai Polis Kok Lanas bagi memohon siasatan terperinci berhubung kes itu namun tiada tindakan susulan dilakukan.
"Jadi kami membuat laporan sekali lagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tujuan sama kerana keluarga perlu diberikan penjelasan yang secukupnya mengenai punca kematian anak kami.
"Siasatan dan penjelasan penuh ini amat penting bagi membersihkan nama kami sebagai ibu dan bapa kepada seorang anak yang menghafaz 20 juzuk al-Quran tetapi dilaporkan telah membunuh diri," katanya kepada pemberita di pekarangan IPD Kota Bharu, di sini hari ini.
Dalam kejadian 12 Disember lalu, Wan Ahmad Faris, 16, ditemui mati tergantung kira-kira pukul 9.30 pagi dalam keadaan separuh bogel di sebuah tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman selepas penyelia sekolah tersebut terhidu bau busuk ketika membuat rondaan.
Mangsa dikatakan telah mati beberapa hari sebelum itu dan kes berkenaan diklasifikasikan polis sebagai mati mengejut.
Bagaimanapun, bapa mangsa, Wan Abdul Rahman dan ibu mangsa, Rohani Husni, 59, percaya pelajar tingkatan empat itu telah dibunuh, bukan membunuh diri sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.
Sehubungan itu, pasangan suami isteri terbabit tampil membuat laporan di IPD Kota Bharu hari ini bagi mendesak siasatan menyeluruh dilakukan ke atas kes tersebut.
Pasangan tersebut ditemani peguam mereka, Alias Ibrahim dari Alias Ibrahim & Co.
Sementara itu, Alias berkata, laporan polis yang dibuat merupakan proses awal sebelum memulakan inkues.
"Kita ada beberapa bukti yang jika dibawa ke mahkamah, bakal membawa keputusan yang berbeza berbanding siasatan polis.
"Namun kita tidak akan mendedahkan bukti-bukti itu sekarang bagi mengelak mendahului mahkamah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengesahkan pihaknya menerima laporan dari keluarga mangsa dan sedia memberi kerjasama.
"Terpulanglah kepada keluarga mangsa jika mereka mahu memohon mengadakan inkues, itu hak mereka," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_07/Inkues-siasat-punca-sebenar-kematian-pelajar-tahfiz#ixzz2uTLTULLe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment