Search This Blog

Wednesday, February 5, 2014

Guru cedera pipi dilibas parang


MOHD. Razali Nordin menunjukkan kecederaan yang dialaminya di Kampung Sungai Lampam, Langkap, Perak, semalam.
TELUK INTAN 4 Feb. - Seorang guru lelaki cedera di pipi kiri akibat dilibas dengan parang oleh seorang daripada tiga perompak yang memecah masuk kediamannya di Kampung Sungai Lampam, Langkap dekat sini awal pagi ini.
Mangsa, Mohd. Razali Nordin, 58, berkata, kediamannya dimasuki tiga lelaki bersenjatakan parang pada kira-kira pukul 3.30 pagi ketika dia dan lima ahli keluarganya sedang tidur.
Menurut beliau, kumpulan perompak berkenaan bertindak mengikatnya serta semua ahli keluarganya iaitu isteri, dua anak, kakak serta ibu yang berusia 85 tahun.
Katanya, perompak berkenaan meminta mereka jangan membuat bising sambil memaksa menyerahkan wang dan barang berharga.
"Perompak berkenaan cuba mengganggu isteri serta anak dan ketika saya menghalang, salah seorang daripada mereka berang lalu melibas parang dan terkena pipi kiri saya.
"Mereka juga mengugut akan mencederakan ahli keluarga saya jika tidak mendapat barang berharga.
"Setelah kumpulan perompak berkenaan beredar, kami berjaya melepaskan ikatan. Saya bersyukur kerana semua ahli keluarga saya selamat dan tidak dicederakan," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Akibat kecederaan itu, Mohd. Razali terpaksa menerima enam jahitan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Mohamad Zaki Harun berkata, kumpulan perompak itu melarikan dua buah motosikal, dua unit komputer riba, wang tunai berjumlah RM11,000, barang kemas, dua unit telefon bimbit dan dokumen peribadi milik mangsa.
Katanya, menurut keterangan mangsa, suspek dipercayai berasal dari Indonesia berdasarkan dialek yang dituturkan mereka.
"Siasatan mendapati perompak berkenaan memecah masuk melalui pintu belakang rumah itu yang baharu sahaja diubah suai.
"Dua daripada kumpulan perompak mengenakan topeng manakala seorang lagi tidak memakai penutup muka, namun mangsa gagal mengecam suspek dan polis masih memburu kumpulan perompak berkenaan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140205/je_06/Guru-cedera-pipi-dilibas-parang#ixzz2sOUSYBJv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment