Search This Blog

Thursday, February 27, 2014

Gobalakrishnan akui tidak gembira



Kiri N. Gobalakrishnan, Manjeet Singh
KUALA LUMPUR 27 Feb. - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Gobalakrishnan mengakui beliau memang tidak gembira dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana selama 12 tahun berada dalam parti itu, Ketua Pembangkang itu bukan sahaja menyusahkan hidupnya malah telah melakukan perkara-perkara yang tidak baik terhadap negara.
Mengakui kenyataan itu menyentuh emosinya, bekas Ahli Parlimen Padang Serai itu segera memohon maaf di hadapan Hakim Datuk Noor Bee Ariffin yang mendengar keterangannya dalam kes saman fitnah peguam Manjeet Singh Dhillon terhadap beliau dan tiga yang lain di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Gobalakrishnan yang pernah memegang jawatan Ketua Cabang PKR Padang Serai itu mendakwa, beliau percaya yang Manjeet pun tahu sejak tahun 2002 dan 2003 lagi, beliau memang tidak puas hati dengan Penasihat PKR itu.
Dengan nada kesal Gobalakrishnan menyatakan, beliau tidak sepatutnya meninggalkan Barisan Nasional (BN) sebelum ini selepas menyedari dirinya berada di pihak yang salah.
Gobalakrishnan memberi keterangan sebagai saksi defendan pertama dalam perbicaraan kes saman yang menamakan beliau; bekas wartawan Utusan Malaysia, Raja Syahrir Abu Bakar; Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB); dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) sebagai defendan pertama hingga keempat.
Saman yang difailkan pada 26 September 2011 itu menyentuh kenyataan Gobalakrishnan yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia dan TV3 yang dikatakan mengkritik Manjeet, seorang peguam bela dalam perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya.
Utusan Malaysia pada 17 Ogos 2011 menyiarkan artikel bertajuk Manjeet selalu memburukkan kerajaan dengan memetik kritikan Gobalakrishnan terhadap Manjeet manakala TV3 turut menyiarkan komen yang sama pada malam 16 Ogos 2011.
Manjeet merupakan peguam bela tertuduh pertama, N. Pathmanabhan dalam kes bunuh jutawan kosmetik itu percaya defendan pertama itu menggunakan perbicaraan kes tersebut sebagai peluang untuk melancarkan serangan yang tidak wajar terhadap karakter, reputasi dan perlakuannya.
Gobalakrishnan juga ditanya mengenai artikel yang diterbitkan oleh media antarabangsa, saksi itu menyatakan, beliau tidak membaca artikel tersebut.
Ini kerana, menurut Gobalakrishnan telah menjadi praktis PKR untuk selalu melobi media antarabangsa bagi menghasilkan berita yang memburuk-burukkan kerajaan.
Saksi itu dalam keterangannya mendakwa, beliau telah diminta oleh Anwar supaya memujuk bekas Pengarah Eksekutif Magnum Corporation Bhd. (Magnum), Datuk S. Nallakaruppan supaya kembali semula kepada PKR.
"Namun apabila saya gagal, Anwar telah meminta Manjeet pula memujuk Nallakaruppan," kata Gobalakrishnan.
Mengakui kini gembira dengan kehidupannya sebagai pekebun di Cameron Highlands, Gobalakrishnan menegaskan, tiada keperluan baginya untuk memohon maaf kepada Manjeet kerana pernyataan yang dibuatnya kira-kira tiga tahun lalu itu adalah suatu komen yang adil dan berpatutan dan mempunyai kewajaran.
Peguam Americk Sidhu yang mewakili Manjeet dalam pemeriksaan balasnya turut menyifatkan Gobalakrishnan seorang ahli bebas yang mesra BN.
Mendengarkan soalan itu, Gobalakrishnan berkata, beliau tidak pernah mengumumkan perkara itu namun beliau dianggap mesra BN.
Menyentuh artikel yang disiarkan Utusan Malaysia, Gobalakrishnan berkata, berita-berita yang disiarkan oleh akhbar tersebut adalah demi kepentingan rakyat dan bukannya untuk mempertingkatkan imej BN.
UMMB diwakili peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican mewakili Gobalakrishnan.
Perbicaraan bersambung esok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140228/ma_06/Gobalakrishnan-akui-tidak-gembira#ixzz2uZBTwD6e
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment