• Kereta dipandu Theong Su remuk selepas berlanggar dengan lori di Kampung Wakaf Raja, malam kelmarin.Kereta dipandu Theong Su remuk selepas berlanggar dengan lori di Kampung Wakaf Raja, malam kelmarin.

PASIR PUTEH - Seorang ahli perniagaan maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 49.5, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Wakaf Raja di sini, malam kelmarin.

Ang Theong Su, 51, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas kereta yang dipandunya dari Jerteh, Terengganu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, nahas kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika Theong Su dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya di Jalan Hamzah, Kota Bharu selepas bertemu rakan di Jerteh.

Katanya, kemalangan itu membabitkan kereta Proton Waja dipandu mangsa, sebuah lori dan satu kenderaan pikap.

“Siasatan awal mendapati nahas itu dipercayai berlaku apabila mangsa cuba memotong sebuah bas dan kenderaan pikap dengan memasuki laluan bertentangan.

“Selepas itu kereta mangsa bertembung dengan lori terbabit, menyebabkan ia terbabas ke kiri jalan dan bergesel dengan kenderaan pikap,” katanya.

Mohd Kamal berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori serta kenderaan pikap tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk bedah siasat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.