Search This Blog

Wednesday, February 5, 2014

Empat warga Amerika Latin disyaki samun kedai emas


HULU LANGAT 4 Feb. - Polis percaya kes pecah masuk dan samun kedai emas di sebuah kompleks beli-belah di Damansara, di sini yang membabitkan kerugian lebih RM1 juta semalam, didalangi oleh empat warga Amerika Latin.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, maklumat itu diperoleh selepas mendapat keterangan daripada beberapa saksi yang ternampak kelibat kesemua suspek.
Katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan penglibatan orang dalam kerana semasa kejadian, pengimbas di dalam premis itu telah dimatikan.
"Kita percaya suspek tiada pengetahuan untuk mematikan pengimbas itu malah tidak tahu kewujudannya. Dalam kejadian itu, suspek turut melarikan perakam kamera litar tertutup (CCTV)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan seorang pengurus sebuah kedai emas yang baru memulakan operasi selepas bercuti panjang sempena Tahun Baharu Cina sejak Khamis lalu, terkejut setelah mendapati premis itu dipecah masuk dan sebahagian besar barangan kemas dipercayai bernilai lebih RM1 juta lesap.
Dalam kejadian yang disedari kira-kira pukul 10 pagi itu, pengurus kedai tersebut mendapati pintu belakang premis dipecah masuk menggunakan gas Oxy-acetylene.
Abdul Rahim berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, pihaknya yakin kejadian itu berlaku antara malam Ahad sehingga malam keesokannya.
"Kita difahamkan ketika kejadian, bekalan elektrik terputus di dalam kompleks itu dan beberapa saksi melihat kesemua suspek keluar bersama beg.
"Sekarang kita bekerjasama dengan agensi terlibat di lapangan terbang bagi memburu suspek. Kita juga akan meneliti rakaman CCTV daripada pihak pengurusan kompleks beli-belah," katanya.
Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan kes kebakaran lebih 10 patung lilin di muzium lilin The Red Carpet, i-City di sini Rabu lalu, Abdul Rahim berkata, pihaknya masih meneliti rakaman CCTV termasuk menyiasat sekiranya ada penglibatan khianat daripada pihak dalaman.
"Kita belum mengenal pasti mana-mana suspek namun akan menyiasat melalui kedua-dua sudut iaitu perbuatan khianat pihak dalaman atau sabotaj daripada pihak luar," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140205/je_02/Empat-warga-Amerika-Latin-disyaki-samun-kedai-emas#ixzz2sOSSFNnH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment