Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Empat pelajar KTAR terbunuh kereta bertembung lori


Keadaan kereta Perodua Viva dan lori selepas bertembung dalam kemalangan yang mengorbankan empat pelajar KTAR di Kilometer 26, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Kampar, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS
KAMPAR 27 Feb. - Empat pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) Kampar di sini terbunuh apabila kereta Perodua Viva yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori membawa tar di Kilometer 26, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, Thomas Loh Tet yang merupakan pemandu kereta dan tiga rakan wanitanya, Koh Suet Mun dari Lahat, Wong Pei Pei dari Lumut dan Ling Yok Sue dari Batu Gajah, meninggal dunia serta-merta.
Kesemua mangsa yang berusia 20 tahun merupakan pelajar pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di KTAR.
Difahamkan, kejadian kira-kira 500 meter dari persimpangan Gua Tempurung itu berlaku ketika kesemua pelajar berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Kampar untuk ke kolej mereka.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Viva itu gagal memotong sebuah kenderaan lain di selekoh tempat kejadian dan bertembung dengan lori berkenaan.
"Akibat pertembungan itu, Perodua Viva berkenaan diseret sehingga ke laluan bersebelahan menyebabkan kenderaan tersebut remuk teruk dan kesemua mangsa di dalamnya tersepit serta meninggal dunia.
"Pihak bomba mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan kesemua mayat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Kong Soon, pemandu lori terlibat, Balvinder Singh Indar, 32, yang tidak cedera ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ujar beliau, semakan mendapati pemandu lori berkenaan mempunyai 28 kesalahan lalu lintas dan mempunyai satu waran tangkap yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik kerana gagal mempamerkan cukai jalan.
"Pemandu lori berkenaan ditahan sehingga siasatan selesai sebelum diserahkan kepada pihak IPD Gerik," ujarnya.
Tambah Kong Soon, mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga masing-masing.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140228/je_02/Empat-pelajar-KTAR-terbunuh-kereta-bertembung-lori#ixzz2uYye8U8q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment