Search This Blog

Sunday, February 2, 2014

Dua bersaudara lemas


Mayat mangsa lemas dibawa ke Hospital Kota Tinggi, Johor untuk dibedah siasat kelmarin. - MINGGUAN/ FARIK SALLEH
KOTA TINGGI 1 Feb. - Percutian sebuah keluarga di pantai Tanjung Balau, Desaru dekat sini, sempena cuti perayaan, menjadi detik hitam buat mereka apabila dua daripadanya lemas ketika mandi-manda di pusat peranginan itu, semalam.
Mangsa yang terbunuh ialah J. Krisna Kumar, 31, dari Jalan Permas Jaya, Masai dan adik iparnya, R. Ghanapathy, 32, dari Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.
Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, seorang anak saudara mereka, B. Suren, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selesa Jaya 2, Skudai bagaimanapun sempat diselamatkan orang ramai.
Suren ditemui terdampar di kawasan berbatu sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan. Seorang lagi yang turut mandi bersama mereka bagaimanapun terselamat.
Kesemua mereka datang ke pantai itu bersama 15 ahli keluarga yang lain tetapi hanya empat orang sahaja yang mandi sebelum dihanyutkan ombak besar.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.25 petang dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Kedua-dua mangsa yang hilang akibat dipukul ombak besar ditemui terdampar di pantai tidak jauh dari lokasi mereka mandi pada pukul 7.30 malam. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk disemadikan.
“Kawasan berkenaan menjadi lokasi bahaya kepada mereka yang mandi-manda dan pihak berkuasa sebelum ini telah memasang bendera amaran, namun ramai yang tidak mengendahkan arahan tersebut," katanya ketika dihubungi.
Justeru, Rahmat menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar mengambil langkah keselamatan terhadap anak-anak apabila melakukan aktiviti di kawasan perkelahan yang berisiko terutamanya pada musim angin dan ombak besar.
Kelmarin, seorang remaja Orang Asli, Sham Salem, 14, yang bekerja di ladang tembikai berhampiran pusat peranginan itu mati lemas ketika datang ke situ bersama enam rakannya untuk mencari pucuk pokok nipah untuk dibuat pembalut rokok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140202/je_02/Dua-bersaudara-lemas#ixzz2s89RERFv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment