Keadaan lori pasir yang dikatakan mempunyai masalah brek, merempuh van sehingga menyebabkan lapan penumpang nyaris maut.
Keadaan lori pasir yang dikatakan mempunyai masalah brek, merempuh van sehingga menyebabkan lapan penumpang nyaris maut.
SEREMBAN - Lima jam selepas merempuh sebuah Tadika Perpaduan di Jalan Limbok Atas, Temiang, sebuah lori pasir merempuh pula belakang sebuah van yang dinaiki lapan penumpang, lewat petang kelmarin.
Kejadian kira-kira 7 petang itu turut mengakibatkan van dinaiki penumpang berusia antara 13 hingga 50-an itu hilang kawalan, lalu melanggar tiang lampu. Manakala lori terbabit terbabas ke tepi longkang.
Pemandu van yang hanya dikenali sebagai Fan, 51, berkata, dia bersama keluarga serta rakannya dalam perjalanan dari rumahnya ke Rasah Jaya untuk makan malam.

“Kami naik kenderaan sama dan baru beberapa minit dalam perjalanan, sebuah lori dari arah belakang merempuh van dinaiki kami. Kejadian berlaku terlalu pantas," katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana semuanya selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Kemalangan itu turut menyebabkan premis perniagaan di kawasan berkenaan terputus bekalan elektrik.

Semalam, Sinar Harian melaporkan lori seberat 10 tan itu menggelongsor sebelum merempuh tadika terbabit kira-kira 2.30 petang semalam, akibat brek tangan kenderaan itu tidak berfungsi dengan baik.

Akibat daripada kejadian tersebut, tiga buah kereta yang parkir di tepi kawasan berkenaan, rosak.

Difahamkan, kedua-dua kejadian itu mengundang rasa marah orang ramai di kawasan berkenaan berikutan sikap pemandu lori berusia 52 tahun itu yang tidak mengambil kira keselamatan awam.

Salah seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, pemandu lori itu sepatutnya dikenakan tindakan.

“Dia sudah tahu lori itu mempunyai masalah brek, tapi masih boleh memandunya dan sekarang hampir meragut nyawa orang” katanya.