Search This Blog

Friday, February 21, 2014

Dikurung tak makan 3 hari

Dikurung tak makan 3 hariEmpat warga Myanmar yang berjaya diselamatkan dari sindiket pemerdagangan orang di Sungai Petani, kelmarin. - Foto Omar Osman

Sungai Petani: "Kami lapar... sudah tiga hari tak makan.” Rintihan itu diucap seorang lelaki warga Myanmar sebaik ditemui selepas serbuan pihak berkuasa di rumah usang di Jalan Pasar, di sini, yang menjadi lokasi penahanannya sejak sembilan hari lalu.

Lelaki berkenaan adalah antara empat lelaki etnik Rohingya berusia lingkungan 30-an, yang diselamatkan polis selepas menjadi mangsa sindiket pemerdagangan migran di sempadan Malaysia-Thailand. di sini.

Ketika ditemui, tangan keempat-empatnya diikat menggunakan rantai besi, yang turut dililit di leher mereka dan masing-masing berada dalam keadaan lesu di ruang dapur rumah berkenaan.

“Kami makan sekali sehari. Kalau pagi dapat makan, petang atau malam tidak makan lagi. Itu pun maggi (mee segera) saja. Last (kali terakhir) kami makan tiga hari lalu.

“Kami tak berani minta makan sebab takut. Lelaki yang jaga kami selalu pegang parang,” kata seorang daripada mereka.

Dalam kejadian pada jam 10 malam kelmarin, empat lelaki terbabit diselamatkan selepas dibawa ke negara ini secara haram melalui sempadan Malaysia-Thailand, sejak sembilan hari lalu.

Tuntutan wang 
Tindakan itu dipercayai bertujuan menuntut wang daripada keluarga mangsa terbabit.

Pihak berkuasa turut menahan seorang lelaki warga Myanmar dipercayai anggota sindiket terbabit yang ditugaskan menjaga mangsa.di rumah berkenaan.
Seorang mangsa berkata, dia dan tiga rakannya tiba ke negara ini menaiki bot dari Thailand dengan bantuan sindiket.

“Ketika nak masuk, kami bayar RM700 kepada mereka tetapi selepas sampai, mereka minta duit dengan keluarga di kampung di Arakan (Myanmar). Keluarga kami tak ada duit, sebab itu kami dikurung,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya, berkata serbuan ke rumah terbabit dibuat hasil soal siasat ke atas empat lelaki Myanmar dipercayai anggota sindiket pemerdagangan migran, yang ditahan pihaknya pada jam 6 petang sebelum itu.

Beliau berkata, seorang suspek memaklumkan ada empat warga Myanmar dikurung di rumah berkenaan, sebelum sepasukan 19 pegawai dan anggota diketuai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Kedah, Deputi Superintendan Mohd Naim Asnawi, menyerbu lokasi.

“Seorang lelaki warga Myanmar berusia 30-an yang berada di ruang hadapan rumah dan mengawal keempat-empat mangsa ditahan, manakala polis turut menemui sebilah parang serta pisau.“Keempat-empat lelaki Rohingya itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menjalani pemeriksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment