Search This Blog

Wednesday, February 5, 2014

Belukar terbakar nyaris sambar kilang

Oleh Nur Saliawati Salberi
Bestari Jaya: “Sebaik menunaikan solat Zuhur saya terkejut melihat asap hitam dan api marak di kawasan belukar depan kilang,” kata Khalid Mohamad, 63, saksi kebakaran hutan dan kebun terbiar di Kampung Berjuntai Bestari, di sini, petang semalam.
Menurutnya, kejadian dikesan kira-kira jam 1.30 tengah hari dan kebakaran dipercayai akibat cuaca panas di kawasan hutan dan kebun ubi serta pisang terbiar seluas kira-kira dua hektar itu. 
Khalid yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah kilang berhampiran berkata, ketika dia menunaikan solat, keadaan sekitar lokasi kejadian kelihatan seperti biasa.

“Sebaik melihat asap hitam dan api marak, saya segera memaklumkan penyelia kilang serta mengalihkan kenderaan di kawasan berdekatan kerana takut api menyambar kenderaan berkenaan.
Foto
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan sisa kebakaran di kawasan tanah gambut.

“Pihak pengurusan menghubungi bomba dan tindakan pantas mereka mengawal api berjaya mengelakkan api merebak ke kawasan kilang berhampiran,” katanya.

Kebakaran hutan di kawasan hutan dan ladang terbiar di negeri ini bukan perkara baru kerana pada 24 September tahun lalu, kawasan pelupusan sampah haram seluas dua hektar di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang, terbakar.

Terdahulu pada 19 September, satu lagi kebakaran dilaporkan di hutan simpan FELDA Sungai Tengi di Bukit Tunggal, Hulu Selangor, sebelum api berjaya dikawal beberapa hari kemudian.

Sementara itu Pegawai Operasi Bomba Kamarul Anuar Isnawan berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan dari orang awam pada jam 1.48 tengah hari, seramai enam anggota dan sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian 12 minit kemudian, hampir 60 peratus kawasan berkenaan sudah terbakar dan sebaik api di bahagian hadapan dapat dikawal, tiba-tiba api di bahagian belakang kilang pula merebak dengan pantas berikutan angin kuat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/05

No comments:

Post a Comment