Search This Blog

Thursday, February 13, 2014

Bapa nikahkan gadis bawah umur ditahan


2014/02/13
Sydney: Seorang bapa ditahan di Australia semalam selepas mengahwinkan anak perempuannya yang berusia 12 tahun dengan lelaki yang 14 tahun lebih tua daripada gadis itu.

Pegawai penderaan kanak-kanak mendakwa lelaki berusia 61 tahun itu dengan membantu jenayah sebelum fakta melakukan hubungan seksual dengan kanak-kanak dan mendapatkan kanak-kanak bawah 14 tahun untuk aktiviti seksual menyalahi undang-undang.

Ia menyusul ulama kelahiran Pakistan yang didakwa kelmarin dengan menjalankan perkahwinan tidak sah dan penahanan suami, seorang rakyat Lubnan di atas 25 kesalahan seks kanak-kanak minggu lalu.

Suspek nafi dakwaan

Si bapa, dilaporkan warga Australia yang memeluk Islam, tidak dibenarkan diikat jamin di mahkamah Raymond Terrace, utara Sydney, manakala lelaki berusia 26 tahun juga masih dalam tahanan.

Majistret, Caled Franklin berkata, lelaki berusia 61 tahun itu tidak percaya beliau melakukan sebarang kesalahan.

“Malah jika dakwaan terhadapnya dibuktikan beliau percaya tiada apa yang salah dengan tindak tanduknya itu,” kata majistret, menurut Newcastle Herald.
Akhbar berkenaan memetik peguam Bantuan Guaman sebagai berkata, lelaki berkenaan menafikan dakwaan terhadapnya dan berkata, anak perempuannya amat matang dan cukup bersemangat.

“Beliau berkata, mereka saling mencintai dan perasaan itu amat kuat,” kata peguam.

Walaupun perkahwinan kanak-kanak menjadi satu kelaziman di beberapa bahagian dunia, di Australia 18 tahun adalah usia minimum untuk berkahwin dan kes itu mencetuskan perbahasan bagaimana meluasnya masalah itu.

Siasatan oleh akhbar Sydney Daily Telegraph yang disiarkan semalam menyatakan wujud wabak pengantin kanak-kanak dengan beratus remaja bawah umur berkahwin tanpa mendaftar di New South Wales saja.

Kahwin paksa

Menteri Perkhidmatan Komuniti, Pru Goward, minggu lalu berkata, bukti anekdot menunjukkan kahwin paksa antara kanak-kanak dan orang dewasa adalah isu berterusan, terutama di Sydney.

“Ini amalan terlalu dirahsiakan tetapi bukan tidak diketahui. Saya faham ada peningkatan mendadak perkahwinan menyalahi undang-undang, tidak berdaftar dengan gadis bawah umur di negeri ini, terutama di barat dan barat daya Sydney serta Blue Mountains,” katanya.

Goward menulis surat kepada rakan sejawatannya di peringkat Persekutuan, Michaelia Cash untuk mengadakan kempen kesedaran di seluruh negara mengenai perkahwinan bawah umur dan kahwin paksa.-AFP 

No comments:

Post a Comment