Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

Banjir Beaufort makin buruk

Banjir Beaufort makin buruk
Keadaan pekan Beaufort yang ditenggelami air.
 Kota Kinabalu: Hujan lebat berterusan sejak empat hari lalu, memburukkan lagi banjir di daerah Beaufort, kira-kira 100 kilometer dari sini.

Sehingga petang semalam, lebih 2,000 penduduk daripada 80 kampung dipindahkan. Banjir disifatkan terburuk di daerah itu, menyebabkan 138 penduduk daripada 40 keluarga dari Kampung Batu 60 hingga Batu 63 berpindah ke atas bukit berhampiran.

Kira-kira 300 orang daripada 70 keluarga lagi, dari Kampung Mantanior, masih berada di rumah masing-masing.


Terputus hubungan

Usaha menyelamat lebih 400 penduduk sebelum ini, tidak dapat dilakukan kerana ada antara kampung terputus hubungan.

Semua mangsa daripada 613 keluarga, dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara iaitu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort 3; Dewan Baru; Dewan Kampung Kukut; Dewan Sri Dayang, Lumadan dan Dewan SMK Gadong.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah, Mohd Shaid Othman, berkata jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat hingga lewat petang ini. Setakat petang semalam, 613 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara.
“Kita menjangkakan banjir berterusan dalam beberapa hari lagi. Usaha menyelamat dan menghantar makanan diteruskan kepada mangsa yang terperangkap di rumah masing-masing,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Di Tenom, Pegawai Daerahnya, Madiyem Layapan, berkata sehingga petang semalam, seramai 3,618 mangsa banjir daripada 38 kampung ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara.

Beliau berkata, walaupun banjir di beberapa kampung semakin pulih, mangsa tidak dibenarkan balik kerana keadaan cuaca masih tidak menentu.

Di Keningau, Pegawai Daerah, Yusop Osman, berkata keadaan banjir di daerah itu semakin pulih tetapi 224 keluarga dari Kampung Ansip, Pagalungan dan Mamagun masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Katanya, mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2 Ansip membabitkan 207 keluarga manakala di Sekolah Agama Fardu Ain, Ansip (lima keluarga) dan Kampung Mamagun (12 keluarga).

“Sebuah lagi pusat pemindahan sementara iaitu di Kampung Toboh Laut, ditutup kelmarin. Bagaimanapun kita belum membenarkan keluarga daripada tiga pusat pemindahan balik ke rumah,” katanya.

Misi bantuan

Sementara itu, Tabung Bencana NSTP-Media Prima yang bertanggungjawab penyampaian misi bantuan kemanusiaan, sekali lagi digunakan bagi membantu mangsa banjir di Sabah dan Sarawak.

Penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat Media Prima, Datuk Ahmad Talib, berkata orang ramai boleh menghulurkan sumbangan tunai atau cek.

“Individu mahupun syarikat korporat boleh mula menghulurkan sumbangan, bagi membolehkan bantuan disalurkan segera,” katanya kepada BH, semalam.

“Bagi syarikat korporat yang ingin menyampaikan cek untuk Tabung Bencana NSTP-Media Prima, mereka boleh datang ke mana-mana pejabat Media Prima berhampiran,” kata Ahmad.

Sumbangan boleh dilakukan menerusi akaun Maybank 514105-320757 atau datang ke Bahagian Kewangan NSTP di 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur atau menghantar cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd, dengan menulis Tabung Bencana NSTP-Media Prima di belakang cek.

No comments:

Post a Comment