Search This Blog

Friday, February 21, 2014

Askar jalani latihan hilang mandi di sungai


2014/02/21

Jertih: Seorang anggota tentera yan menjalani latihan ketenteraan di Lata Belatan, dekat Jabi di sini, dilaporkan hilang sejak awal pagi kelmarin, selepas pergi ke sungai berdekatan perkhemahan latihan.

Berdasarkan maklumat daripada beberapa rakannya, mereka melihat Koperal Nik Azizi Mohd Nor, 30, berjalan menuju ke sungai berdekatan tapak perkhemahan untuk mandi pada jam 5.30 pagi.


Bagaimanapun, kehilangannya hanya disedari ketika perbarisan pagi apabila beliau tidak menyahut selepas namanya dipanggil pada jam 7 pagi.

Nik Azizi berasal dari Pasir Puteh, Kelantan turut membawa senjata yang dibekalkan untuk latihan itu.

Sebelum itu, beliau bersama 300 anggota 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Pantai, Batu Rakit, Kuala Terengganu, mengikuti Eksesais Pasak Bumi di tapak perkelahan terbabit.

Berikutan kehilangannya, gerakan mencari dan menyelamat dilakukan tetapi gagal menemuinya. Kehilangannya kemudian dilaporkan Kapten Rusyadi Noh Ramli, di Balai Polis Jertih, pagi semalam.

Sejurus itu, pasukan mencari dan menyelamat dilancarkan polis dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta anggota tentera.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata gerakan mencari dan menyelamat membabitkan 200 anggota serta penduduk kampung.

“Operasi ini memberi tumpuan kepada kawasan sekitar sungai dan Air Terjun Lata Tembakah serta puncak Gunung Tebu.

“Kali terakhir, mangsa menghubungi keluarganya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), memaklumkan beliau sedang menyertai latihan di kawasan berkenaan sebagai persediaan untuk bertugas di Lahad Datu, Sabah,” katanya.

Turut berada di tapak perkelahan itu, Panglima 8 Briged, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.

No comments:

Post a Comment