Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

Anak teroka aplikasi lucah


Kuala Lumpur: “Saya terkejut apabila Boy yang baru berusia empat tahun minta saya muat turun aplikasi lucah dalam telefon pintar selepas tertarik dengan aplikasi itu,” kata Liza, 30.

Menurut Liza, dia jarang mengemas kini aplikasi dalam telefon pintarnya hingga langsung tidak mengesyaki dan terfikir ada aplikasi lucah di dalamnya.


“Boy selalu bermain telefon pintar saya kerana saya memuat turun aplikasi kegemarannya seperti Upin Ipin, Doraemon, dan Angry Birds.

“Biasanya Boy akan pegang telefon sehingga dia puas sebelum memulangkan semula kepada saya apabila jemu. Saya pula tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka Boy hanya akan fokus terhadap aplikasi kegemarannya,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.


Menurut ibu kepada tiga anak kecil ini, dia hanya menggunakan aplikasi biasa dalam telefon pintarnya seperti untuk menelefon, mesej atau menonton YouTube.


“Tidak sangka pula Boy akan teroka sendiri sehingga dia jumpa aplikasi lucah dan menyuruh saya memuat turun.

“Saya terkejut apabila Boy (nama samaran) minta saya muat turun aplikasi gambar wanita separuh bogel. Saya tegur dan terangkan kepadanya, aplikasi itu tidak elok.


“Selepas kejadian itu, saya selalu mengawasi anak dan tidak benarkan dia pegang telefon pintar jika tiada orang dewasa. Bagi saya, teknologi itu memang penting tapi perlu disekat hanya untuk golongan 18 tahun ke atas,” katanya.

Menurutnya, kini dia lebih berhati-hati dan peka terhadap aplikasi tidak elok dalam telefon pintarnya, malah sebagai langkah keselamatan turut disertakan kata laluan.


Katanya, dia tidak pernah menyekat penggunaan gajet kepada anaknya kerana menyedari perubahan zaman dan keperluan terhadap generasi muda masa kini.


“Lazimnya anak akan belajar melalui aplikasi pembelajaran yang ada pada gajet mereka. Misalnya seperti mengenal huruf ringkas dan sebutan betul.


“Ada kala mereka lebih mudah ‘tangkap’ dan ikut hasil pembelajaran dalam gajet. Saya hanya berharap pihak bertanggungjawab menyekat aplikasi yang tidak bagus supaya anak tidak menyalahgunakan teknologi yang ada.


“Zaman berubah, begitu juga dengan kanak-kanak masa kini yang lebih terdedah kepada teknologi moden serta canggih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

No comments:

Post a Comment