Search This Blog

Friday, February 28, 2014

‘Adik tinggal saya’



Bahau: “Tiga hari lalu saya bermimpi adik (mangsa) meninggal dunia.

“Saya tidak sangka ia menjadi kenyataan, malah lebih menyedihkan dia pergi bersama keluarganya akibat kemalangan jalan raya,” kata Mohd Zaki Abu Bakar, 36, abang kepada Mohd Fauzan Abu Bakar, 32, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 18 Jalan Bahau-Keratong berhampiran Ladang Geddes, dekat sini, pagi semalam.


Tragedi itu turut meragut nyawa isteri Fauzan, Nur Hidayah Ngah, 28, dan dua anaknya Nur Ain Shahiera, 6, serta Nur Aina Shahmiera, 10 bulan.



Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, sebuah kereta PROTON Waja dari arah Bahau ke Muadzam Shah, Pahang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta PROTON Saga dinaiki empat beranak itu.


Akibatnya, empat sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Baru Sri Rusa, Port Dickson, tersepit di tempat duduk masing-masing meninggal dunia di lokasi kejadian.


Katanya, adik lelakinya yang juga seorang anggota Askar Wataniah yang bertugas di Skuadron 2 Armor Diraja di Port Dickson, itu pulang ke kampung di Setiu, Terengganu untuk menziarahi keluarganya, Selasa lalu.

Zaki berkata, keluarga terbabit bagaimanapun, singgah di rumahnya di Kuantan, Pahang, pagi kelmarin kerana kereta dipandu adiknya rosak. “Sebaik Fauzan tiba di rumah saya, dia hanya menghantar isteri dan dua anaknya itu untuk berehat, manakala Fauzan terus ke sebuah bengkel membaiki keretanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/28

No comments:

Post a Comment