Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Abang rogol adik dipenjara 16 tahun, 20 sebatan


KUALA LUMPUR 28 Feb. - Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara 16 tahun dan sebatan 20 kali oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini, setelah mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol adik perempuannya, dua minggu lalu.
Hakim Manira Mohd. Noor memutuskan demikian terhadap lelaki berusia 28 tahun itu yang didakwa merogol adiknya yang berusia 22 tahun di rumah mereka di Taman Ukay Bistari, di sini, kira-kira pukul 8 pagi, 14 Februari lalu.
Dia juga didakwa mengulangi perbuatan sumbang mahram itu terhadap mangsa di tempat sama pada 16 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd. Zawawi mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara lapan tahun dan sebatan 10 kali bagi setiap pertuduhan dan hukuman dijalankan secara berturut-turut.
Dalam keputusannya, Manira berkata, tertuduh sebagai abang sulung sepatutnya melindungi adiknya namun menjadikan mangsa sebagai alat pemuas nafsu.
Justeru, beliau berharap hukuman itu dapat menginsafkan tertuduh dan menjadikannya orang yang lebih bertanggungjawab.
Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian pertama, tertuduh telah menarik mangsa yang baru selesai mandi ke dalam biliknya dan memaksa mangsa menanggalkan tuala.
Tertuduh telah memukul mangsa di bahagian perut setelah enggan berbuat demikian lantas merogolnya serta memukul sekali lagi mangsa apabila dia menjerit.
Dalam kejadian kedua pula, mangsa sekali lagi dirogol oleh abangnya itu ketika sedang tidur bersama kakaknya di rumah mereka.
Tertuduh telah masuk ke dalam bilik dan membuka pakaian mangsa dan merogolnya serta turut memukul mangsa di kepala dan muka setelah mangsa menjerit.
Sebelum itu tertuduh yang kelihatan tenang memohon mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan menanggung ibu dan adik yang tidak bekerja.
Walau bagaimanapun, Noor Fadzlin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana tertuduh merupakan abang kandung dan sepatutnya melindungi adiknya.
Katanya, perbuatan tertuduh itu ibarat 'harapkan pegar, pegar makan padi' kerana merogol adik kandung sebanyak dua kali dan hukuman berat diharap dapat menyedarkan tertuduh kerana perbuatan itu bukan sahaja melibatkan masa depannya tetapi adiknya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140301/ma_05/Abang-rogol-adik-dipenjara-16-tahun-20-sebatan#ixzz2uepdiEaE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment