Search This Blog

Sunday, February 2, 2014

40 buah lagi kenderaan musnah terbakar


ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan kira-kira 40 buah kereta terpakai di sebuah stor di Taman Desajaya, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU 1 Feb. - Tindakan pantas pihak bomba berjaya mengawal kebakaran yang berlaku di tempat penyimpanan kenderaan di Taman Desa Jaya di sini daripada terus merebak ke pencawang elektrik dan kilang-kilang berhampiran.
Ketua Operasi Zon Johor Bahru, Harun Idris berkata, kebakaran yang berlaku di kawasan seluas satu ekar itu memusnahkan 40 buah kenderaan dan kawasan hutan di sekelilingnya.
"Selepas menerima laporan, kami bergegas ke tempat kejadian dengan tiga jentera bomba daripada Pasir Gudang, Johor Jaya dan lori tangki air dari Johor Bahru yang melibatkan 22 anggota.
"Kami mengambil masa sehingga dua jam untuk mengawal kebakaran di kawasan itu kerana mengalami masalah tekanan air rendah yang berpunca daripada kekurangan bekalan air," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Harun berkata, siasatan awal mendapati tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana tiada sesiapa di situ ketika kejadian tersebut berlaku.
"Daripada 80 buah kenderaan yang disimpan di bengkel ini, sebanyak 40 buah daripadanya musnah terbakar. Kami masih menyiasat punca kejadian dan anggaran kerugian yang dialami ekoran kebakaran itu," jelasnya.
Pada Khamis lalu, sebanyak 100 daripada 150 buah kenderaan di stor penyimpanan sebuah bengkel di Parit Bakar, Muar, musnah terbakar mengakibatkan kerugian lebih RM2.2 juta.
Dalam kejadian pukul 9.45 pagi itu, kira-kira 70 buah kereta termasuk kereta mewah, 10 buah lori dan treler serta selebihnya van dan kenderaan pelbagai guna (MPV) gagal diselamatkan.
Stor yang bersebelahan bengkel utama dan terletak kurang satu kilometer dari pekan Parit Bakar merupakan tempat menyimpan kenderaan terlibat kemalangan yang hendak dibaik pulih pelanggan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140202/je_10/40-buah-lagi-kenderaan-musnah-terbakar#ixzz2s8AwB0OO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment