Search This Blog

Sunday, February 2, 2014

30 minit bertarung nyawa


KANOWIT 1 Feb. - Berpantang maut sebelum ajal.
Lima lelaki yang merupakan anggota Askar Wataniah bertarung nyawa selama hampir 30 minit di tengah Sungai Rajang apabila perahu panjang yang dinaiki mereka terbalik dipukul ombak besar, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu, kelima-lima mangsa yang berusia dalam lingkungan antara 30-an hingga 40-an itu berhadapan detik-detik cepas selepas perahu panjang itu dinaiki air dan terbalik di sungai yang berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sedaya di sini.
Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Bujang berkata, kelima-lima lelaki berbangsa Iban itu jatuh dan cuba berpaut pada perahu panjang tersebut sebelum berenang ke tebing sungai.
“Bagaimanapun ketika mereka sedang berenang ombak semakin besar dan kebetulan beberapa penduduk rumah panjang di seberang sungai itu ternampak kejadian itu segera turun membantu.
“Penduduk kampung yang menaiki sebuah bot menyelamatkan kesemua mangsa dan membawa mereka ke Jeti Persinggahan Ekspres," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Tambah Mohamad, tiga daripada mangsa berkenaan selamat dan berada dalam keadaan stabil manakala dua lagi lemah dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kanowit.
Katanya, difahamkan kelima-lima mangsa berkenaan baharu selesai menjalani latihan fizikal dan dalam perjalanan pulang ke rumah panjang masing-masing di seberang sungai itu.
Sementara itu dalam kejadian berlainan di Saratok, Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Supritendan Zamrul Ahmad memberitahu, operasi bersepadu mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa yang dipercayai lemas di Muara Seblak, Kabong di Saratok petang semalam, diteruskan hari ini.
Beliau yang dihubungi berkata, operasi yang dilakukan sejak pukul 7 pagi itu masih tidak menjumpai sebarang petunjuk dan akan diteruskan semula esok pagi kerana cuaca semakin gelap.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140202/je_08/30-minit-bertarung-nyawa#ixzz2s8CO935T
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment