Search This Blog

Friday, February 21, 2014

3 sahabat terhumban ke laut


Dalam kejadian jam 1 pagi, mangsa, Alvinuslan Madayau, 17, yang duduk di bahagian penumpang belakang dipercayai tercampak keluar sebelum terjatuh di atas tebing batu pemecah ombak manakala kenderaan terbabit terhumban ke laut.
Dua lagi rakan mangsa, Eyad Azli, 20, yang juga pemandu kenderaan dan penumpang hadapan, Mohd Abdul Halim Abdul Rabak, 21, hanya cedera ringan apabila sempat keluar dari kenderaan yang tenggelam dan berenang ke tebing.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama dua rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Taman Jaya Diri, Sepanggar selepas selesai menikmati makan malam di sebuah restoran di bandar raya.
Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan Honda Civic yang datang dari bandar raya menuju ke Sepanggar dipercayai hilang kawalan lalu terhumban ke laut.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati Honda Civic itu hilang kawalan ketika melalui selekoh berhampiran lampu isyarat lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terhumban.
“Mangsa yang duduk di belakang dikatakan tercampak keluar ditemui berlumuran darah di atas tebing batu pemecah ombak oleh orang ramai.
“Dua lagi rakan mangsa dapat menyelamatkan diri sebaik kenderaan mereka mulai tenggelam dan dimasuki air,” katanya, semalam.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa dihantar pengguna jalan raya ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan, namun seorang daripadanya disahkan sudah meninggal dunia.
“Mangsa maut akibat parah di kepala manakala dua lagi mangsa menerima rawatan di HQE dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Foto
KENDERAAN yang dinaiki mangsa terhumban ke laut selepas hilang kawalan, pagi semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

No comments:

Post a Comment