Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

2 maut motosikal bertembung


BACHOK 15 Feb. - Dua pemuda maut apabila dua motosikal yang ditunggang oleh kedua-dua mangsa bertembung di hadapan Masjid Tepus, Pauh Lima dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi itu, Mohamad Safiq Hakimi Zulkifly, 18, dan Tengku Mohd. Fuard Tengku Ariff, 24, yang mempunyai hubungan persaudaraan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian Tengku Mohd. Fuard dalam perjalanan dari arah Gunong menuju ke Pauh Lima.
"Setibanya di hadapan Masjid Tepus, dia dikatakan cuba memotong sebuah kereta Perodua MyVi sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang Mohamad Safiq dari arah bertentangan," katanya di sini hari ini.
Abdul Ghani berkata, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing," katanya.
Sementara itu, ibu Mohamad Shafiq, Nik Sah Nik Mustafa, 53, berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira 200 meter dari rumahnya.
"Ibu saya sepupu dengan nenek Tengku Mohd. Fuard. Tengku Mohd. Fuard juga tinggal di kampung ini.
"Pada petang sebelum kejadian, Mohamad Safiq ada beritahu saya supaya mengambil motosikalnya di balai polis sekiranya apa-apa yang berlaku terhadapnya. Rupanya kata-kata itu menjadi kenyataan," katanya.
Menurut Nik Sah, arwah sebelum ini tinggal di Kuala Lumpur untuk membantu abangnya, Mohd Azwan Azizi, 30, yang membuka kedai makan.
Bagaimanapun, katanya, dia pulang ke kampung pada awal bulan lepas kerana mahu menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada Mac ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140216/dn_23/2-maut-motosikal-bertembung#ixzz2tQtQdnAY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment