Search This Blog

Friday, February 28, 2014

14 maut tragedi dinihari


2014/02/28

Foto
Muka depan BH hari ini.
Foto
Mohd Zaki (tengah) tidak dapat menahan perasaan sedih dan ditenangkan oleh ahli keluarga sambil disaksikan oleh adik bongsu, Mohd Wahyu Abu Bakar, 26 (kanan) di Hospital Jempol, semalam. Gambar kecil, Mohd Fauzan.

Tragedi dinihari: Mimpi abang jadi kenyataan

Bandar Seri Jempol: Luluh hati seorang abang, apabila mimpi kematian adiknya yang dialami tiga hari lalu yang disangka sekadar mainan tidur, menjadi kenyataan awal pagi semalam.

Pembantu jualan, Mohd Zaki Abu Bakar, 36, terkejut mimpi itu menjadi kenyataan, apabila adiknya, Mohd Fauzan, 33, bersama isteri dan dua anak pasangan itu maut dalam nahas jalan raya, jam 6.10 pagi.


Nahas di Kilometer 22, Jalan Bahau-Keratong dekat sini, meragut nyawa Mohd Fauzan bersama isteri, Nurhidayah Ngah, 28, serta dua anak mereka, Nur Ain Shahiera, 6, dan Nur Aina Shahmiera, 10 bulan.

Ketika kejadian, empat beranak terbabit yang menaiki PROTON Saga, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Port Dickson, selepas menziarahi keluarga di kampung dekat Kuala Terengganu, sejak Selasa lalu.

Kereta yang dipandu Fauzan yang bekerja sebagai pemandu lori itu, bertembung PROTON Waja dipandu kakitangan syarikat petroleum, Muhammad Fairahall Abbas, 45, dari Seremban yang sedang menuju ke Kerteh, Terengganu.

Ketika ditemui, Mohd Zaki mengakui tidak mempercayai mimpi yang dialaminya tetapi kemalangan yang menimpa keluarganya itu membuatkan dia pantas mengingati kejadian itu.

Pernah cerita mimpi

“Saya sebelum ini pernah ceritakan mimpi itu kepada adik beradik lain, tetapi kami tidak mahu mempercayai mimpi sedemikian.

“Malah, saya juga tidak ceritakan kepada Fauzan ketika dia singgah di rumah saya dekat Kuantan jam 10 pagi semalam, kerana keretanya mengalami kerosakan,” katanya ketika ditemui menuntut jenazah ahli keluarga itu di Hospital Jempol, semalam.

Mohd Zaki berkata, Fauzan yang menunggu di bengkel hingga kereta selesai dibaiki menjelang Maghrib kelmarin, kemudian pulang ke rumahnya untuk makan dan berehat sebelum meneruskan perjalanan jam 10 malam kelmarin.

Ketika perjalanan, beliau sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada adiknya itu jam 3 pagi dan hanya dibalas sejam kemudian.


SMS tidak dijawab

“Ketika itu, Fauzan beritahu dia singgah berehat di Muadzam Shah. Jam 7 pagi, saya hantar lagi SMS, tetapi tidak dijawab sehinggalah menerima panggilan abang saya, Mohd Azmani, pada jam 9 pagi memberitahu nahas itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias, berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki empat beranak itu terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung kereta dipandu Fairahall.

Katanya, kecederaan parah dialami empat beranak itu menyebabkan semua mereka meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Fairahall yang patah kaki kanan dirawat di Hospital Jempol.

“Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu abang Fairahall, Mohd Faizal, 48, dari Seremban, berkata adiknya yang tersepit dalam kereta, sempat menghubungi isteri memaklumkan kemalangan itu.

No comments:

Post a Comment