Search This Blog

Thursday, February 27, 2014

12 lelaki curi kayu gaharu RM2 juta ditahan


Roslan Ariffin (dua dari kiri) bersama pegawai-pegawainya menunjukkan gaharu yang dirampas pada sidang akhbar di Jabatan Perhutanan Negeri Perak di Ipoh, semalam. - UTUSAN/ HANAFI KHAMIS
IPOH 26 Feb. - Seramai 12 lelaki termasuk 10 warga asing diberkas kerana mencuri 400 kilogram kayu gaharu yang dianggarkan bernilai hampir RM2 juta dalam tiga tangkapan berasingan minggu lalu.
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Roslan Ariffin berkata, tangkapan pertama membabitkan empat lelaki warga asing di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Lebey, Bandariang dekat Gerik pada pukul 1 pagi, 20 Februari lalu.
Katanya, dalam operasi yang dijalankan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Pengkalan Hulu itu, sebanyak empat bungkusan guni berisi kayu gaharu dirampas.
"Dalam tangkapan kedua pada 22 Februari lalu, kira-kira pukul 4.30 petang, seorang lelaki warga asing ditahan oleh UPP dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
"Ketika kejadian, kedua-dua agensi terbabit sedang melakukan rondaan di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik-Jeli sebelum terserempak sebuah pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan yang dipandu lelaki terbabit.
"Pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan kayu gaharu," katanya di sini hari ini.
Menurut Roslan, tangkapan ketiga pada pukul 8.30 malam hari sama pula membabitkan tujuh lelaki menaiki dua buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Bersia dekat Gerik.
Katanya, operasi yang disertai Perhilitan, Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan Taman Negeri Royal Belum (TNRB) sebelum itu telah mengekori kenderaan terbabit yang dilihat keluar dari kawasan jalan balak lama di Sungai Mendelum berhampiran Jalan Raya Timur-Barat, Gerik-Jeli menghala ke Gerik.
"Pemeriksaan ke atas van yang dipandu lelaki rakyat tempatan itu menemukan tujuh guni kayu gaharu, satu bungkus plastik kayu gaharu dan beberapa peralatan yang digunakan untuk mengambil kayu tersebut.
"Selain itu, kita juga turut menahan sebuah kereta Proton Wira yang dipandu lelaki rakyat tempatan bersama lima warga asing yang disyaki terlibat dengan kegiatan tersebut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140227/je_04/12-lelaki-curi-kayu-gaharu-RM2-juta-ditahan#ixzz2uTLxdae2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment